Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jumlah lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terus bertambah apabila 19 lagi lokaliti di Sabah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Kedah dikenakan arahan itu bermula Sabtu ini hingga 13 Ogos kelak.

Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pelaksanaan itu membabitkan tujuh lokaliti di Sabah, empat lokaliti di Perak, tiga lokaliti di Pahang, dua lokaliti di Kelantan dan masing-masing satu lokaliti di Terengganu serta Kedah.

"Tujuh lokaliti dikenakan PKPD di Sabah adalah Kampung Lembah Pantai dan Kampung Pugi Gunsapou, Ranau; Kampung Bayangan dan Kampung Purakagis, Keningau; Kampung Gambaron 2 dan Kampung Tembidong-Bidong, Telupid; Kampung Marintaman Sipitang serta Kampung Airport Lama, Tawau.

"Di Perak pula, empat lokaliti dikenakan PKPD adalah Kampung Biak Hilir, Mukim Bandar serta Kampung Biak Darat, Kampung Biak Daroh dan sebahagian Kampung Pasir Salak, Mukim Pasir Salak," katanya dalam kenyataan semalam.

Hishammuddin berkata, tiga lokaliti dikenakan PKPD di Pahang adalah Apartment Amber Court dan Tapak Bina Grand Ion Delemon, Genting Highlands serta Felda Sungai Koyan 3, Mukim Ulu Jelai, Lipis.

"Di Kelantan, terdapat dua lokaliti dikenakan PKPD iaitu Kampung Wek Batu 23, Labok, Machang dan Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang, Pasir Mas.

"Terdapat masing-masing satu lokaliti dikenakan PKPD di Terengganu iaitu Kampung Padang Kubu, Mukim Tebak, Kemaman, manakala di Kedah pula adalah Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Baling," katanya.

Beliau berkata, dua lokaliti di Sabah iaitu Perumahan Sabah Forest Industry (SFI), Sipitang dan Taman Jaya Diri, Kota Kinabalu serta satu lokaliti di Sarawak iaitu Kampung Seratau, Kuching pula dilanjutkan PKPD bermula Sabtu ini hingga 13 Ogos nanti.

"10 lokaliti di Perak, Melaka, Sabah, Selangor dan Sarawak yang dikenakan PKPD sebelum ini akan ditamatkan mengikut jadual.

"Ia membabitkan empat lokaliti di Perak iaitu Kilang Latexx Manufactering Sdn Bhd dan asrama pekerja kilang (Latexx Village & Ivor Hostel) Taiping dan Apartment Tropicana, Bukit Merah, Kampung Tersusun Pondok Tanjung serta Kampung Binjai, Kerian.

"Selain itu, dua lokaliti masing di Sarawak dan Sabah iaitu Kampung Astana dan Sungai Bedil, Kuching serta Kampung Perpaduan Gumpa, Kudat, Penjara Tawau dan Kuaters Penjara Taman Ehsan, Tawau turut ditamatkan PKPD.

"Bagi PKPD di Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor pula ditamatkan lebih awal dari jadual iaitu bermula hari ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 7:39 PM