GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.6 juta kepada masjid dan surau di negeri ini bagi membantu mereka menyantuni anak kariah yang terputus sumber pendapatan dan terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebanyak 301 masjid menerima jumlah sumbangan yang berbeza berdasarkan baki akhir tabung masjid iaitu antara RM2,000 hingga RM7,000.

Katanya, sebanyak 1,020 surau pula menerima RM500 setiap satu menerusi peruntukan berkenaan.

"Bantuan ini diwujudkan untuk menampung dan meringankan kesempitan yang dialami oleh anak kariah yang terkesan akibat Covid-19.

"Masjid yang baki akaunnya sedikit diperuntukkan sumbangan lebih dari masjid yang lain agar pihak masjid berkenaan dapat menyantuni anak kariah mereka yang terputus sumber pendapatan atau terkesan dengan pandemik ini.

"Walaupun di Negeri Sembilan terdapat tanda penurunan kes baharu positif Covid-19 kebelakangan ini, tetapi bantuan hendaklah diteruskan untuk memberi kesejahteraan kepada semua anak kariah sehingga keadaan kembali normal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pengurusan Masjid Peringkat Negeri Sembilan 2021 secara maya, semalam.

Aminuddin berkata, pihak pengurusan masjid diminta lebih proaktif dalam usaha menjaga kebajikan anak kariah dengan menggunakan wang tabung masjid seperti melaksanakan bantuan berkonsepkan gerobok rezeki.

"Program gerobok rezeki perlu diuruskan dengan baik bagi mengelakkan fitnah terhadap penerima serta pengurusan masjid sendiri.

"Hal ini juga boleh menjadi salah satu kaedah dakwah untuk mendekati masyarakat terutamanya golongan bukan Islam," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, 51 peratus daripada ahli jawatankuasa masjid (AJK) di negeri itu sudah menerima vaksin dos kedua manakala 35 peratus lagi menerima dos pertama.

"Dijangkakan menjelang pertengahan Ogos ini, semua pegawai masjid dari seluruh negeri akan menerima sekurang-kurangnya dos yang pertama.

"Hal ini penting sebagai ikhtiar untuk memutuskan rantaian Covid-19 serta dapat kita cadangkan kelonggaran prosedur operasi standard pengimarahan masjid dan surau dengan segera apabila semua AJK dan Pegawai Masjid telah sempurna divaksinasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 2:17 PM