GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Umat Islam di Negeri Sembilan yang sudah mendapatkan suntikan dua dos lengkap vaksin Covid-19 masih boleh terus menunaikan solat di masjid atau surau kerana prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan itu masih kekal.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri masih meneruskan kebenaran menunaikan solat Jumaat dan masuk ke masjid atau surau dengan dua dos vaksin sahaja.

"Setakat ini tiada banyak perubahan dari segi SOP dan umat Islam yang lengkap dua dos boleh terus menunaikan solat Jumaat dan solat biasa di masjid atau surau.

"Insya-Allah, kita juga akan mengeluarkan SOP Ramadan tidak lama lagi. Kita berharap semua pihak patuh SOP sedia ada sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Mengenai suntikan dos penggalak kalangan kakitangan pentadbiran kerajaan negeri, beliau berkata, setakat ini seramai 2,168 atau 32.8 peratus sudah menerima suntikan berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun terdapat seramai 307 orang enggan menerima dos penggalak, manakala seramai 866 orang pula yang belum ambil dos berkenaan atas pelbagai faktor.

"Kita mengalu-alukan semua kakitangan awam supaya mengambil dos ketiga untuk pastikan dalam keadaan selamat daripada dijangkiti kerana kes Covid-19 di Negeri Sembilan ketika ini juga agak tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kadar penggunaan katil di Pusat Rawatan dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Tampin hanya 24 berbanding kapasiti penuh 224 katil.

"Manakala bagi swasta terdapat 84 berbanding kapasiti 400 katil. Ramai yang dijangkiti menjalani kuarantin di rumah dan ini menunjukkan keadaan kes positif Covid-19 di negeri ini masih terkawal iaitu kebanyakannya kategori satu dan dua sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 6:45 PM