GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Selangor membenarkan 100 jemaah termasuk pentadbir menunaikan solat Jumaat di masjid seluruh negeri ini bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, ia membabitkan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri); Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fi Sabililillah, Cyberjaya; masjid pengurusan, masjid institusi dan masjid kariah.

"Bagi surau kebenaran solat Jumaat, 50 jemaah (termasuk pentadbir) dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat.

"Bagi solat fardu pula, 50 jemaah dibenarkan termasuk pentadbir bagi kesemua masjid, surau dan musolla. Ketetapan baharu ini akan berkuat kuasa mulai hari ini sehingga ke suatu tempoh yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa.

"Semua pentadbir masjid dan surau diminta terus mengambil langkah-langkah pencegahan berterusan seperti menjalankan aktiviti disinfeksi berkala dan terus menggalakkan ahli kariah yang masih belum mengambil suntikan vaksin untuk segera mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera," katanya menerusi perkongsian infografik di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, antara syarat bagi jemaah solat Jumaat dan lima waktu adalah individu (ahli kariah) yang tinggal dalam kariah masjid; lengkap dua suntikan dos vaksin serta melaksanakan penggiliran jemaah mengikut hari atau waktu atau mana-mana yang bersesuaian jika bilangan jemaah menerima dua suntikan vaksin melebihi dari kapasiti dibenarkan.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, pihaknya juga membenarkan pengurusan jenazah bukan Covid-19 di masjid dan surau dengan kehadiran ahli kariah atau ahli keluarga terdekat tidak melebihi 20 orang dan tidak melebihi enam orang bagi jawatankuasa masjid atau surau yang akan menguruskan jenazah.

"Selain itu, akses dan kemudahan ruang solat kepada musafir, pemandu e- hailing, khidmat penghantar makanan dan pemandu kenderaan awam perlu terus disediakan.

"Aktiviti pengimarahan termasuk kuliah, ceramah, tazkirah boleh dilaksanakan secara atas talian dari kediaman penceramah dan pengkuliah masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 2:56 PM