DATUK Dr Chong Chee Kheong. FOTO arkib NSTP
DATUK Dr Chong Chee Kheong. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pasukan Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) akan melaksanakan strategi baharu bagi mengurangkan lonjakan kes Covid-19 di Lembah Klang ketika ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong dalam satu kenyataan berkata, tumpuan penuh akan diberikan kepada Penjagaan Klinikal; Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Pemantauan Kendiri di Rumah; Epidemiologi; Logistik Perubatan dan Umum; Sistem Sokongan Sosial bagi Petugas Hadapan; Sumber Manusia dan Kewangan; dan Komunikasi Strategik.

Katanya, pasukan itu juga sudah mengenal pasti beberapa perkara yang memerlukan tindakan segera termasuk pengoperasian Hospital Selayang yang akan ditukarkan sepenuhnya menjadi hospital Covid-19 bagi kawasan Lembah Klang.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, pesakit bukan Covid-19 di Hospital Selayang akan dipindahkan ke hospital swasta di kawasan terbabit dalam usaha meningkatkan kapasiti katil bagi kegunaan pesakit Covid-19 Kategori 3, 4 dan 5.

"'Operasi Selayang' sudah dimulakan dan akan selesai dalam masa 48 jam untuk menyediakan sebanyak 450 katil bagi kegunaan pesakit Covid-19.

"Kedua, perhatian penuh akan diberikan bagi memastikan jangkaan keperluan bekalan oksigen, ubat-ubatan dan bekalan lain tidak terganggu," katanya.

Selain itu, Dr Chong berkata, GKVSTF juga akan memberi keutamaan menjalankan ujian Covid-19 terhadap individu yang bergejala namun semua kes simptomatik Covid-19 masih perlu dinilai sama ada secara dalam talian ataupun secara fizikal di CAC atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan.

Katanya, bagi kes positif yang tidak bergejala individu terbabit akan diarahkan menjalani pengasingan di rumah selama 10 hari dan melaporkan diri secara dalam talian dengan menggunakan 'Home Assesment Tools' dalam aplikasi MySejahtera, e-COVID atau SELangkah.

"Kontak rapat kepada kes positif yang tidak bergejala adalah digalakkan untuk melakukan ujian pantas Covid-19 sama ada di klinik berhampiran ataupun menggunakan kit ujian kendiri dan melakukan pengasingan diri di rumah.

"Langkah ini diambil supaya pengurangan kes Covid-19 dapat dilakukan di wilayah ini dan untuk mengelakkan daripada keadaan menjadi tidak terkawal. Dengan melakukan ujian kendiri dan pengasingan diri di rumah, diharapkan agar kes-kes yang memerlukan rawatan dapat diberikan dengan kadar segera manakala kontak yang tidak bergejala dapat melakukan ujian kendiri," katanya.

Beliau berkata, perkara itu akan dilaksanakan apabila kit ujian kendiri boleh didapati dengan meluas.

Selain itu, katanya, individu dewasa yang layak juga digalakkan mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 6:12 PM