Orang ramai yang positif Covid-19 di nilai oleh petugas Kesihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Komuniti Bandar Mahkota Cheras. FOTO FATHIL ASRI
Orang ramai yang positif Covid-19 di nilai oleh petugas Kesihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Komuniti Bandar Mahkota Cheras. FOTO FATHIL ASRI
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Angka kes positif yang terus meningkat di Lembah Klang disebabkan penularan wabak Covid-19 jauh lebih besar berbanding jumlah kes positif yang dikesan setiap hari.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, ramai individu tanpa mengalami gejala tidak menyedari mereka sudah dijangkiti dan boleh menyebarkan virus ini kepada orang lain.

"Perlu diingatkan keberkesanan vaksin mengambil masa dua minggu selepas melengkapkan dos kedua.

"Jadi, vaksin ini memerlukan masa untuk bertindak balas dan melindungi individu berkenaan.

"Selain itu, kemunculan varian Delta dalam komuniti dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi turut menyumbang kepada peningkatan kes ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Chong yang mewakili Pasukan Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) berkata, berdasarkan data dari negara yang merekodkan kadar vaksinasi yang tinggi, jangkitan virus ini masih boleh berlaku disebabkan varian Delta walaupun terdapat pengurangan ketara pesakit yang masuk ke hospital dan pesakit bergejala teruk.

Selain itu, beliau turut memperincikan langkah utama dilakukan GKVSTF dalam membendung wabak Covid-19 iaitu merangka beberapa langkah yang strategik bagi mengoptimumkan perkhidmatan perawatan, mengurangkan penularan virus dan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada komuniti dan petugas kesihatan.

"Melihat kepada situasi terkini, strategi pengurusan wabak berubah daripada membendung kepada mitigasi dalam usaha mencegah kematian dan meminimumkan penyebaran penyakit.

"Antara inisiatif utama termasuklah meningkatkan kapasiti katil, penjagaan unit rawatan rapi (ICU), bekalan oksigen, mobilisasi tenaga kerja dan pembabitan sukarelawan.

"Selain itu, langkah untuk memindahkan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta juga dapat membantu dalam meningkatkan kapasiti katil di hospital kerajaan dan bantuan tentera dari segi tenaga kerja dan logistik amatlah dihargai," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengukuhkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dengan melaksanakan Virtual CAC kepada individu yang tidak bergejala dan bergejala ringan serta memperkukuhkan pengurusan pemantauan pesakit di rumah.

"Selain itu, kita menawarkan lebih banyak ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) di klinik kesihatan dan kepada pengamal perubatan am melalui penjualan kit ujian kendiri yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi membolehkan lebih banyak ujian dijalankan.

"Kit ujian kendiri yang menggunakan air liur juga boleh didapati di farmasi bagi membolehkan orang ramai melakukan ujian sendiri di rumah," katanya.

Dr Chong berkata, selain itu, pihaknya akan meningkatkan sokongan kepada barisan hadapan di hospital dan fasiliti kesihatan serta memperkukuhkan sistem sokongan sosial dan emosi untuk orang awam.

"Kita juga akan mendapatkan dan memperuntukkan sejumlah dana bagi tujuan perolehan peralatan perubatan dan ubat-ubatan tambahan dan kami juga berusaha untuk meningkatkan komunikasi dengan orang awam tentang isu kritikal dan akan sentiasa mengemaskini maklumat semasa.

"Kakitangan kami di hospital, fasiliti kesihatan dan bahagian pengurusan kini keletihan tetapi kami tetap di sini untuk anda dan akan terus bekerja bagi mengatasi krisis ini," katanya.

Menurutnya, GKVSTF juga menjangkakan jumlah kes akan terus meningkat selama beberapa hari akan datang selepas pihaknya menggalakkan penggunaan ujian kendiri dan RTK-Ag.

"Tetapi jangan khuatir kerana kami cuba sedaya upaya untuk mengesan sebanyak mungkin kes positif bagi mengurangkan penularan wabak dalam komuniti kita.

"Dengan lebih banyak kes positif dan kontak rapat, mereka akan diasingkan dan dikuarantin, kes akan mula berkurangan dalam beberapa minggu.

"Jika ini dapat dicapai, strategi ujian Covid-19 dapat disusun semula bagi memastikan pengesanan kes untuk pengasingan dan pemantauan adalah lebih berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 12:43 PM