GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 60,052 pesakit Covid-19 dipantau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di 152 CAC di seluruh negara sejak 25 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa ini CAC sedang memantau seramai 20,089 pesakit yang menjalani pengasingan di rumah.

"Secara umumnya, CAC bertindak sebagai pusat rujukan bagi mengenal pasti, menilai, memantau, serta menguruskan pesakit yang telah disahkan positif Covid-19.

"Penilaian dan pemantauan kepada kesemua pesakit ini dijalankan oleh pasukan diketuai oleh pakar perubatan kesihatan awam dan pakar perubatan kesihatan keluarga serta dibantu oleh anggota sokongan klinikal yang lain.

"Bagi melancarkan perkhidmatan CAC beroperasi sama ada di stadium, dewan komuniti, balai raya atau mana-mana fasiliti kerajaan bergantung kepada kesesuaian dan keperluan setempat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan serta memenuhi kriteria ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalani pengasingan di rumah selama 10 hari.

"Pengurusan pesakit ini adalah tertakluk di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kes Jangkitan Penyakit Korona Virus 2019 (Covid-19), Akta Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

" Semua pesakit ini akan dipakaikan gelang pengawasan sepanjang tempoh pengasingan mereka di rumah," katanya.

Menurutnya, pemantauan kendiri perlu dilaksanakan oleh pesakit sepanjang tempoh pengasingan iaitu melalui Home Assesment Tool yang dibekalkan oleh CAC.

"Pesakit juga perlu melaporkan status kesihatan setiap hari melalui aplikasi MySejahtera atau apabila dihubungi oleh anggota kesihatan.

"Sekiranya pesakit mengalami kemerosotan gejala, mereka dinasihatkan menghubungi CAC dengan kadar segera atau talian 999 untuk kecemasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 7:56 PM