Penduduk di Lembah Klang yang positif Covid19 atau tidak bergejala, diminta tidak perlu ke Pusat Penilaian Covid19 (CAC), hanya perlu memasukkan maklumat dalam Home Assessment Tool (HAT) setiap hari di aplikasi Mysejahtera. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Penduduk di Lembah Klang yang positif Covid19 atau tidak bergejala, diminta tidak perlu ke Pusat Penilaian Covid19 (CAC), hanya perlu memasukkan maklumat dalam Home Assessment Tool (HAT) setiap hari di aplikasi Mysejahtera. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Individu yang disahkan positif Covid-19 diminta menjalani pengasingan diri di rumah, membuat notifikasi dan pemantauan kendiri melalui aplikasi MySejahtera.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, pengasingan kendiri di tempat kediaman adalah bagi pesakit yang tidak bergejala dan bergejala ringan yang tidak perlu dimasukkan ke hospital serta boleh sembuh sendiri.

"Kami tidak mahu menyebabkan kesesakan di hospital dengan kes ringan supaya rawatan bagi pesakit yang lebih teruk dapat diutamakan.

"Kakitangan kesihatan akan menghubungi mereka yang 'red flagged' (bendera merah) sebagai pesakit yang berisiko tinggi untuk tampil ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau hospital," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Chong yang mewakili Pasukan Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) berkata, sekiranya pesakit disahkan positif, mereka perlu maklumkan individu yang mempunyai kontak untuk turut melakukan pengasingan kendiri selama 10 hari.

"Ujian tidak perlu dilakukan melainkan mereka mempunyai gejala, apa yang penting adalah kekal duduk di rumah dan melakukan pemantauan kesihatan kendiri setiap hari.

"Bagi individu yang beranggapan mereka sudah terdedah kepada pesakit positif tetapi tidak dikenal pasti sebagai kontak rapat adalah digalakkan untuk menjalani ujian saringan di fasiliti kesihatan swasta termasuk melakukan ujian kendiri menggunakan air liur," katanya.

Menurutnya, vaksinasi akan mengurangkan risiko untuk mendapat jangkitan dan disebabkan itu, semua rakyat Malaysia perlu mendaftarkan diri dan mendapatkan vaksin sebaik sahaja tarikh temu janji diberikan.

"Bagi kontak rapat kepada kes positif, mereka harus menangguhkan tarikh temu janji vaksin untuk sekurang-kurangnya selama 10 hari.

"Kami juga memohon masyarakat untuk terus menyokong kami dalam usaha membendung wabak ini dengan menjadi sukarelawan untuk membantu dalam sistem kesihatan seperti di CAC, fasiliti kesihatan atau hospital.

"Sukarelawan juga boleh membantu dalam meningkatkan sistem sokongan sosial dan emosi kepada orang ramai," katanya.

Beliau berkata, sudah dua minggu GKVSTF ditubuhkan bagi menangani wabak Covid-19 yang kini berada pada tahap membimbangkan.

GKVSTF mempunyai pasukan yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pakar dari luar KKM.

"Pasukan ini bekerja keras bagi melaksanakan langkah yang perlu untuk membendung impak wabak Covid-19 kerana keutamaan kami adalah untuk menyelamatkan nyawa.

"Peningkatan kes dan kematian Covid-19 menunjukkan betapa seriusnya keadaan sekarang dan ini amat membimbangkan.

"Malah, jangkitan Covid-19 kini sudah menular dengan meluas dalam komuniti sehinggakan kapasiti hospital di Lembah Klang termasuklah unit rawatan rapi mencecah tahap maksimum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 12:57 PM