Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kebarangkalian penularan kes positif Covid-19 dalam komuniti di Lembah Klang mungkin tiga kali ganda berbanding jumlah kes yang dikesan setiap hari.

Pakar Virologi Universiti Malaya Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, ujian saringan bersasar dilakukan menyebabkan golongan positif yang 'tersasar' menularkan jangkitan dalam komuniti.

"Kerajaan melaksanakan saringan bersasar, yang 'tersasar' ini tidak direkodkan dan menularkan jangkitan dalam komuniti.

"Kita ada dua faktor menyumbang peningkatan kes positif iaitu golongan tersasar ini dan kedua, kluster sektor yang mempunyai ramai pekerja dalam satu tempat," katanya.

Dr Sazaly berkata, kluster yang ramai pekerja di satu tempat tidak mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) yang betul apabila penggunaan pelitup muka di tempat kerja tidak dipastikan sepenuhnya, tiada penjarakan fizikal dan pengaliran udara tidak mencukupi.

"Sektor ini menjadi pencetus penularan di tempat kerja dan merebak masuk ke dalam komuniti."

Menurutnya, penularan dalam komuniti menyebabkan angka positif meningkat dan tidak mustahil jumlahnya tiga kali ganda berbanding yang dikesan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Jika kita tengok kadar kematian, setiap 1,000 kes positif ada lapan kematian purata sehari. Jika kita ada 10,000 kes, sepatutnya hanya 80 kematian, tetapi kini catat 200 kematian sehari.

"Maknanya di luar sana angka positif mungkin tiga kali ganda, kalau 10,000 kes sehari dilaporkan, sebenarnya di luar sana kebarangkalian 30,000 kes," katanya.

Beliau berkata, pembukaan sektor ekonomi sepatutnya dinilai berdasarkan kes indeks kematian, penggunaan unit rawatan rapi (ICU) dan ventilator.

"Kita kena tengok indeks kadar kematian untuk buka sektor ekonomi, bukan tengok kes jangkitan harian kerana jika kita tidak buat saringan Covid-19, tiadalah pandemik ini di Malaysia.

"Tetapi jumlah kematian itu betul termasuk penggunaan ICU dan ventilator, kita tidak boleh pusing nombor dan fakta ini," katanya.

Pendapat sama turut dikongsi Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar yang berkata, jumlah jangkitan dalam komuniti sebenarnya jauh lebih besar berbanding angka dilapor setiap hari.

"Berdasarkan ramalan, kajian dan modeling, kita jangka antara dua hingga tiga kali ganda kes dalam komuniti di Lembah Klang.

"Kalau 10,000 kes dilapor sehari, mungkin ada 20,000 hingga 30,000 kes dalam komuniti tidak dilaporkan kerana tiada gejala dan mereka yang akan menularkan dalam komuniti," katanya.

Sementara itu, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, jumlah kes dilaporkan itu adalah jumlah data dikumpul dan kemungkinan sebenarnya kes beredar di sekeliling jauh lebih tinggi disebabkan tiada simptom atau flu biasa tetapi tiada pemeriksaan dilakukan.


 "Mungkin kebarangkalian tinggi sebab kes kita makin naik, orang yang tidak melakukan ujian saringan akan terus menyebarkan dalam komuniti.

"Selain itu, disebabkan kebenaran pergerakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri walaupun Perintah Kawalan Pergerakan tetapi banyak sektor mula buka terutama sektor perkilangan menyebabkan kes semakin merebak," katanya.

Menurutnya, berdasarkan kadar kebolehjangkitan (R-Naught) ketika ini iaitu 1.2, kemungkinan berlaku pertambahan separuh kes daripada jumlah yang dilaporkan sekarang.

"Jika jumlah kes harian mencatatkan 16,000 kes sehari, mungkin sebenarnya 24,000 kes, pertambahan separuh daripada kes kita ada sekarang," katanya.

Dr Hanafiah turut menjelaskan mengenai semakan status radius kilometer dalam MySejahtera mengenai angka di sekeliling menunjukkan berpuluh atau beratus kes Covid-19 di kebanyakan tempat.

"Jika di Lembah Klang, kebanyakan tempat ada kes Covid-19, lebih-lebih lagi penularan dalam komuniti.

"Tetapi di tiga mukim di daerah Hulu Selangor masih hijau kerana bukan kawasan kependudukan padat dan tumpuan perindustrian atau perkilangan," katanya.

Ubah strategi ke arah mitigasi

Kuala Lumpur: Angka kes positif yang terus meningkat di Lembah Klang disebabkan penularan wabak Covid-19 jauh lebih besar berbanding jumlah kes positif yang dikesan setiap hari.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, ramai individu tanpa gejala tidak menyedari mereka dijangkiti dan boleh menyebarkan virus ini kepada orang lain.

"Perlu diingatkan keberkesanan vaksin mengambil masa dua minggu selepas melengkapkan dos kedua.

"Jadi, vaksin ini memerlukan masa untuk bertindak balas dan melindungi individu berkenaan.

"Selain itu, kemunculan varian Delta dalam komuniti dengan kadar jangkitan lebih tinggi turut menyumbang kepada peningkatan kes ini," katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Chong yang mewakili Pasukan Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) berkata, berdasarkan data dari negara yang merekodkan kadar vaksinasi tinggi, jangkitan virus masih boleh berlaku disebabkan varian Delta walaupun terdapat pengurangan ketara pesakit yang masuk ke hospital dan pesakit bergejala teruk.

Selain itu, beliau memperincikan langkah utama dilakukan GKVSTF dalam membendung wabak Covid-19 iaitu merangka beberapa langkah strategik bagi mengoptimumkan perkhidmatan perawatan, mengurangkan penularan virus dan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada komuniti dan petugas kesihatan.

"Melihat situasi terkini, strategi pengurusan wabak berubah daripada membendung kepada mitigasi dalam usaha mencegah kematian dan meminimumkan penyebaran penyakit.

"Antara inisiatif utama termasuk meningkatkan kapasiti katil, penjagaan unit rawatan rapi (ICU), bekalan oksigen, mobilisasi tenaga kerja dan pembabitan sukarelawan.

"Selain itu, langkah memindahkan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta juga membantu meningkatkan kapasiti katil di hospital kerajaan dan bantuan tentera dari segi tenaga kerja dan logistik amat dihargai," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengukuhkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dengan melaksanakan Virtual CAC kepada individu tidak bergejala dan bergejala ringan serta memperkukuhkan pengurusan pemantauan pesakit di rumah.

"Selain itu, kami menawarkan lebih banyak ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) di klinik kesihatan dan kepada pengamal perubatan am melalui penjualan kit ujian kendiri yang diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi membolehkan lebih banyak ujian dijalankan.

"Kit ujian kendiri yang menggunakan air liur juga boleh didapati di farmasi bagi membolehkan orang ramai melakukan ujian sendiri di rumah," katanya.

Dr Chong berkata, selain itu, pihaknya meningkatkan sokongan kepada barisan hadapan di hospital dan fasiliti kesihatan serta memperkukuhkan sistem sokongan sosial dan emosi untuk orang awam.

"Kami juga mendapatkan dan memperuntukkan sejumlah dana bagi tujuan perolehan peralatan perubatan dan ubat-ubatan tambahan dan kami juga berusaha meningkatkan komunikasi dengan orang awam tentang isu kritikal dan sentiasa mengemas kini maklumat semasa.

"Kakitangan kami di hospital, fasiliti kesihatan dan bahagian pengurusan kini keletihan, tetapi kami tetap di sini untuk anda dan terus bekerja bagi mengatasi krisis ini," katanya.

Menurutnya, GKVSTF juga menjangkakan jumlah kes terus meningkat selama beberapa hari akan datang selepas pihaknya menggalakkan penggunaan ujian kendiri dan RTK-Ag.

"Tetapi jangan khuatir kerana kami cuba sedaya upaya mengesan sebanyak mungkin kes positif bagi mengurangkan penularan wabak dalam komuniti kita.

"Dengan lebih banyak kes positif dan kontak rapat, mereka diasingkan dan dikuarantin, kes mula berkurangan dalam beberapa minggu.

"Jika ini dicapai, strategi ujian Covid-19 dapat disusun semula bagi memastikan pengesanan kes untuk pengasingan dan pemantauan lebih berkesan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 2:00 PM