SAMANTHA Katie. FOTO arkib NSTP
SAMANTHA Katie. FOTO arkib NSTP
Faliqah Alia Radin Mohd


BEKAS Miss Universe Malaysia, Samantha Katie James mempertahankan kenyataannya bahawa rusuhan masyarakat kulit hitam tidak mencapai matlamat dengan mendakwa dirinya turut mendapat layanan berbeza di zaman persekolahan.

Samantha mendakwa ia disebabkan dia dilahirkan di Malaysia dengan ibu berketurunan Cina manakala bapanya warga Brazil.

"Saya juga dibesarkan oleh keluarga India. Saya bercakap melalui pengalaman bukan daripada apa yang dibaca di alam maya," katanya dalam kenyataan di Instagram.

"Saya perlu menandakan bangsa di bawah pilihan 'lain-lain' dalam setiap borang yang diisi," katanya.

Samatha dikecam selepas membuat komen bahawa mereka yang merusuh di Amerika Syarikat susulan kematian George Floyd, 46, pada 25 Mei lalu tidak akan berjaya mencapai matlamat melalui apa yang disifatkannya sebagai keganasan.

Menurutnya, rusuhan dan bantahan masyarakat kulit hitam menandakan golongan kulit putih 'sudah menang'.

Dalam komen sama, dia juga berkata masyarakat kulit hitam sepatutnya menerima kelahiran mereka sebagai cabaran.

Sementara itu, Persatuan Ratu Universe Malaysia (MUMO) dalam kenyataan berkata, mereka menyifatkan kenyataan sebagai tidak wajar, menghina dan menjengkelkan.

"Kenyataan yang dibuat Samantha adalah pendapat peribadi dan tidak selari dengan pandangan MUMO.

"Samantha Katie James tidak mempunyai kontrak dengan MUMO dan tidak mewakili organisasi ini sejak 2016," katanya.

Berita berkaitan

Henry Golding marah ratu cantik

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 5:52 PM