Keadaan kebakaran sebuah kilang penyimpanan minyak sawit yang memusnahkan hampir keseluruhan premis di Sungai Jawi, Nibong Tebal. FOTO Ihsan JBPM
Keadaan kebakaran sebuah kilang penyimpanan minyak sawit yang memusnahkan hampir keseluruhan premis di Sungai Jawi, Nibong Tebal. FOTO Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Puluhan jentera bomba dilaporkan berada di sebuah kilang penyimpanan minyak sawit di Sungai Jawi di sini, bagi operasi memadam kebakaran yang memusnahkan hampir keseluruhan premis berkenaan tengah malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 12.34 tengah malam berhubung insiden itu.

"Apabila tiba didapati kebakaran membabitkan tempat penyimpanan bahan mentah minyak kelapa sawit yang dianggarkan berkeluasan kira-kira 4,150 meter persegi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, insiden itu tidak mengakibatkan kecederaan mahupun kemalangan jiwa dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Operasi itu membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dan menerima bantuan BBP Sungai Bakap, Perai dan Bayan Baru.

Sebelum itu, penduduk berdekatan kilang itu gempar selepas melihat api menjulang ke udara hingga kepulan asap boleh dilihat dari Lebuh Raya Utara-Selatan yang bersebelahan dengan lokasi kejadian.

Beberapa pengguna media sosial kemudiannya memuat naik hantaran dengan memaklumkan terdapat puluhan jentera bomba berada di lokasi bagi operasi memadamkan kebakaran terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 2:34 PM