KEBAKARAN bangunan struktur khas di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Raja. FOTO Ihsan JBPM
KEBAKARAN bangunan struktur khas di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Raja. FOTO Ihsan JBPM
Ruwaida Md Zain


LEBIH 200 pekerja kilang yang menghasilkan asid lemak untuk membuat sabun lari menyelamatkan diri apabila kilang mereka mengeluarkan asap tebal serta letupan di Jalan Solok Waja 3, Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, sebaik sahaja mendengar letupan itu, pihak kilang segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang.

"Bomba menerima panggilan pada 11.49 pagi dan sebaik tiba di lokasi pada 11.57 pagi, bomba mendapati kebakaran membabitkan bangunan struktur khas kilang setinggi 10 tingkat.

"Kebakaran sebanyak 60 peratus bangunan struktur khas itu tidak membabitkan kemalangan jiwa. Kebakaran itu dapat dikawal pada 12.43 petang dan bomba berjaya membuat pemadaman sepenuhnya pada 4.50 petang," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Hafisham berkata, pihaknya mengalami sedikit kesukaran ketika kerja pemadaman memandangkan kilang itu menghasilkan produk berasaskan minyak sawit.

"Itu cabaran untuk padam kebakaran, bomba padam menggunakan sembilan pancutan buih dari pam jentera bomba selain menggunakan tiga breeching, sembilan nozel serta sumber air dari pam tekanan tinggi sehingga selesai.

"Begitu juga kesukaran forensik bomba untuk mendapatkan punca kebakaran sebab kilang ini sukar untuk terbakar kerana dari segi sistem keselamatan tinggi dan bagus," katanya.

Beliau berkata, dalam laporan awal juga mendapati, bomba dimaklumkan terdapat mangsa yang terperangkap dalam kebakaran.

"JPBM Selangor meminta bantuan dari JPBM Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan untuk membantu sebaik menerima maklumat itu tetapi apabila pengiraan dibuat, jumlah pekerja di kilang itu mencukupi iaitu 238 orang, tiada yang terbabit dalam kebakaran," katanya.

Selain pegawai dan anggota BBP Sungai Pinang, kerja pemadaman turut dibantu BBP Pelabuhan Klang, BBP Kapar, BBP Kota Raja, BBP Andalas, BBP Petaling Jaya, BBP Kota Anggerik.

Agensi lain pula membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba Sukarela, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pasukan ERT.

Pada tengah hari ini, video kebakaran kilang itu tersebar di media sosial dan menggemparkan penduduk sekitar kawasan Bukit Raja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 11:30 PM