BOMBA menjalankan kerja-kerja pemadaman api di sebuah kilang plastik di Jalan Tasek 2, Simpang Ampat, NibongTebal. FOTO Ihsan JBPM
BOMBA menjalankan kerja-kerja pemadaman api di sebuah kilang plastik di Jalan Tasek 2, Simpang Ampat, NibongTebal. FOTO Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Arus elektrik yang masih aktif dan ketiadaan pili air menyebabkan bomba berdepan kesukaran dalam operasi memadamkan kebakaran sebuah kilang plastik di Jalan Tasek 2, Simpang Ampat, di sini, awal pagi tadi.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, PBK II Mohd Safi@Roslan Abdullah, berkata pihaknya ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 3.53 pagi berhubung insiden kebakaran berkenaan.

Menurutnya, apabila sampai di lokasi mendapati kebakaran hampir memusnahkan keseluruhan kilang berkenaan.

"Terdapat pencawang elektrik berdekatan dengan kilang itu dan pada masa sama arus elektrik juga masih tidak terpadam hingga menyukarkan anggota membuat proses pemadaman kerana ia berbahaya.

"Bomba turut berdepan masalah air apabila jentera 'water tanker' kehabisan bekalan manakala kilang berkenaan juga tiada pili dan memaksa kita menarik air pili dari kilang lain yang terletak kira-kira 500 meter.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.35 pagi dan kini anggota masih berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja pengawalan memandangkan masih terdapat haba serta memastikan ia tidak merebak ke kilang besi yang terletak bersebelahan kilang plastik ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Jelasnya, tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku dalam insiden kebakaran itu.

"Pemeriksaan dalam kilang plastik itu menemui bahan api dipercayai petrol atau diesel yang menyebabkan kemerebakan api.

"Bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Operasi pemadaman itu dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap dengan bantuan BBP Batu Kawan, Nibong Tebal dan Bayan Baru.

Pasukan Bomba dan Sukarela (PBS) berdekatan juga turut menyertai operasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 12:07 PM