STOR penyimpanan paip polimer musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan Bomba
STOR penyimpanan paip polimer musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


ANGGOTA bomba bertungkus lumus lebih enam jam memadam kebakaran stor penyimpanan paip polimer di kilang di Jalan Bako, Kuching malam tadi.

Kejadian itu disedari pada 9.40 malam sebelum panggilan kecemasan dibuat bagi meminta bantuan mengawal kebakaran itu.

Sebaik menerima panggilan, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikerah ke lokasi dengan dibantu 11 anggota dari BBP Padungan, 10 anggota dari BBP Perra Jaya dan tiga anggota dengan satu lori tangki dari BBP Kota Samarahan.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, setibanya di lokasi didapati api marak di dalam dua stor penyimpanan paip polimer.

Beliau berkata, turut terbakar sepenuhnya, jentera forklift dan api turut merebak ke bahagian utama kilang berkenaan.

Kebakaran berjaya dikawal pada 2.42 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya, 4.19 pagi tadi.

“Kejadian itu menyebabkan kira-kira 80 peratus stok paip polimer di kilang berkenaan musnah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian selain mentaksir jumlah kerugian yang dialami dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 11:44 AM