GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis sudah merakam keterangan seorang wanita dari Batu Pahat yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang anggota keselamatan yang bertugas di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sini, kelmarin.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, wanita berusia 32 tahun itu membuat laporan polis jam 4.56 petang kelmarin.

"Kes ini masih dalam siasatan namun laporan polis dibuat mangsa Ahad lalu.

"Keterangan pengadu sudah dirakam dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam portal melaporkan seorang anggota keselamatan didakwa membuat gangguan seksual dengan melakukan isyarat lucah dan jenaka terhadap seorang wanita yang datang untuk janji temu vaksin.

Wanita itu mendakwa petugas berkenaan meminta untuk melihat aplikasi MySejahtera dan MyKad sebelum mula menggoda mangsa.

Mangsa mendakwa terlambat untuk temu janji vaksin yang dijadualkan kira-kira jam 1 tengah hari menyebabkan dia terburu-buru serta gagal mengenal pasti tanda nama atau nombor lencana anggota berkenaan.

Bagaimanapun, wanita itu dilaporkan tidak mengalami sebarang masalah ketika menerima vaksin dan dilayan dengan profesional oleh petugas kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 6:51 PM