GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan segera berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan anggota polis yang bertugas dalam sekatan jalan raya (SJR), baru-baru.

Rina yang memandang serius dakwaan gangguan seksual yang disiarkan media sejak kebelakangan ini, menyifatkan perbuatan itu tidak boleh dipandang enteng, apatah lagi jika membabitkan anggota penguat kuasa.

Beliau berkata, siasatan segera perlu dilakukan agar mangsa diberikan pembelaan dan pelaku diambil tindakan undang-undang, jika dibuktikan bersalah.

"Dalam mengendalikan isu ini, saya amat berharap agar semua pihak saling menghormati dan tidak mempersoalkan kredibiliti keseluruhan institusi PDRM yang telah banyak berkorban dalam memastikan keselamatan negara. Usahlah kita menghukum ibarat kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Bukit Aman telah menarik tugas serta-merta dua anggota polis yang didakwa terbabit dalam kejadian gangguan seksual terhadap pemandu kereta wanita di dua sekatan jalan raya baru-baru ini, selepas dua wanita berkenaan memuat naik kejadian yang didakwa berlaku ke atas mereka ke laman sosial.

Seorang wanita berusia 23 tahun mendakwa dirinya mengalami gangguan seksual ketika melalui sekatan di Jalan Duta, menghala keluar dari Kuala Lumpur pada 7.30 malam, Jumaat lalu, manakala seorang lagi wanita mendakwa seorang anggota polis ingin berkenalan dengannya selepas anggota itu meminta nombor telefon bimbitnya juga ketika melalui sekatan.

Rina berkata, kementeriannya akan meneruskan komitmen bagi penggubalan sebuah perundangan khusus berkaitan gangguan seksual yang kini drafnya dalam semakan kerajaan untuk dibentangkan di Parlimen.

"Perundangan khusus ini amat penting dan bersifat saling melengkapi kepada undang-undang sedia ada agar isu gangguan seksual dapat ditangani dengan lebih berkesan dan mampu melindungi mangsa, tanpa mengira wanita mahupun lelaki," katanya.

Beliau juga menyeru kepada semua rakyat Malaysia, khususnya golongan wanita agar tampil membuat laporan sekiranya berhadapan dengan sebarang bentuk gangguan seksual, sama ada secara lisan, perbuatan atau melalui pelbagai isyarat oleh pelaku.

Katanya, KPWKM sedia membantu dan salurkan aduan melalui Talian Kasih 15999 dan Talian WhatsApp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam.

Berita berkaitan

Bukit Aman tarik tugas 2 polis lakukan gangguan seksual di SJR

Akui silap, tapi bukan alasan buat gangguan seksual

Kes gangguan seksual: Keterangan wanita, anggota polis sudah diambil

Polis siasat anggota soal wanita tak pakai bra di SJR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 12:47 PM