GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual seperti yang tular di media sosial, hari ini.

Unit Komunikasi Korporat APMM dalam kenyataan berkata, isu berkenaan turut mengaitkan nama keluarga beliau adalah bersifat peribadi dengan motif tertentu.

"Isu itu boleh mencemarkan reputasi dan maruah beliau serta keluarga di samping boleh menjejaskan imej APMM sebagai agensi penguat kuasa.

"Sehubungan itu, pihak pegawai kanan itu akan memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menjalankan siasatan," katanya, hari ini.

Unit Komunikasi Korporat APMM turut meminta kerjasama orang ramai untuk menghentikan sebarang tindakan menular laporan polis berkenaan serta tidak membuat sebarang spekulasi atau tohmahan yang boleh menjejaskan proses keadilan bagi semua pihak yang terbabit.

Terdahulu, polis akan memanggil individu yang berkaitan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata pihaknya sudah pun membuka kertas siasatan susulan daripada laporan yang diterima polis baru-baru ini.

Sebelum ini, tular di media sosial satu salinan laporan polis oleh seorang wanita berusia 39 tahun yang bertugas sebagai penasihat kewangan yang dibuat di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, pada 14 November lalu.

Dalam laporan polis itu, wanita terbabit mendakwa ketua pengarah bergelar Datuk itu mengeluarkan kata-kata berbaur lucah terhadapnya pada pertemuan kali pertama mereka pada November tahun lalu semasa menawarkan peluang pelaburan.

Mangsa mendakwa ketua pengarah itu juga pernah beberapa kali mengajaknya untuk berjumpa di hotel dan pusat karaoke namun ditolak kerana tahu individu itu berniat jahat.

Selain itu, wanita terbabit mendakwa Datuk berkenaan mula melakukan gangguan seksual secara lebih serius sejak Ogos lalu dengan menghantar kira-kira 10 video serta gambar lucah melalui mesej di telefon bimbit.

Sehubungan itu, mangsa tampil membuat laporan polis kerana terlalu tertekan, trauma dan mengalami kemurungan dengan kejadian itu selain turut diugut agar tidak melaporkan perkara itu kepada sesiapa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 7:38 PM