RANJAN ketika ditemui media. FOTO Reuters
RANJAN ketika ditemui media. FOTO Reuters

Reuters

MUMBAI: Ketua Hakim India, Ranjan Gogoi, menafikan dakwaan bahawa dia melakukan gangguan seksual terhadap seorang pembantu mahkamah junior yang bekerja di pejabat di rumahnya.

Wanita berusia 35 tahun yang identitinya tidak didedahkan itu menulis surat kepada kesemua 22 hakim Mahkamah Agung berserta afidavit mengandungi dakwaannya, kelmarin.

Wanita itu mendakwa dia dan keluarganya menjadi mangsa pihak berkuasa disebabkan gangguan seksual itu sejak Oktober tahun lalu. Antara lain, wanita itu mendakwa dipecat manakala suami serta abang iparnya, masing-masing anggota polis di New Delhi, digantung kerja.

Dia juga mendakwa seorang lagi abang ipar dipecat daripada kerjanya di Mahkamah Agung, manakala dia berdepan tuduhan rasuah yang palsu menyebabkannya didakwa sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Gogoi menafikan dakwaan itu dalam prosiding khas mahkamah semalam yang diadakan untuk membincangkan perkara berkenaan.

“Memang tak masuk akal. Kejadian ini menunjukkan ancaman besar terhadap kehakiman India. Ada pihak lebih besar di sebalik wanita ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 9:39 PM