Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 6.1 juta populasi dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 1 Ogos ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia membabitkan pemberian vaksin pada kadar 1.3 juta dos sehingga 25 Julai ini dan 1.3 juta dos lagi antara 26 Julai hingga 1 Ogos ini.

Menurut Muhyiddin, sehingga kini, 3.5 juta populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Ini adalah tindakan segera kerajaan untuk menangani kenaikan kes-kes positif secara mendadak di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Data-data menunjukkan, kes Covid-19 yang serius mencatat penurunan yang ketara dengan pemberian vaksin," katanya pada kenyataan di Facebook hari ini.

Muhyiddin berkata, contohnya, dalam kalangan kumpulan warga emas (60 tahun ke atas), trend kemasukan ke Hospital Sungai Buloh bagi kes positif kategori empat dan lima mengalami penurunan melebihi 50 peratus dalam tempoh sebulan yang lalu.

"Kumpulan warga emas adalah golongan dalam fasa dua dalam pemberian vaksin Covid-19 dan kini impak positif pemberian vaksin ini mulai dapat dilihat.

"Begitu juga bagi petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana mereka menerima vaksin Covid-19 lebih awal lagi," katanya.

Beliau berkata, didapati hanya 1.26 peratus dalam kalangan petugas KKM dijangkiti Covid-19 selepas lengkap divaksinasi.

"Sebanyak 99.8 peratus daripada mereka pula hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala dan tiada yang mengalami Covid-19 kategori lima.

"Satu lagi contoh ialah Labuan, iaitu tempat yang mana varian Delta mula dikesan di negara kita. Kerajaan sudah mengambil tindakan segera dengan menambah bekalan vaksin untuk Labuan.

"Hasilnya, jumlah kes positif dan kes kematian akibat Covid-19 di Labuan dapat dikurangkan dengan peningkatan kadar vaksinasi," katanya.

Kata Muhyiddin, selain itu, penjelasan Ketua Pengarah Kesihatan bahawa lebih 90 peratus kes positif Covid-19 di Malaysia adalah dalam kategori satu dan dua agak melegakan.

"Ini bermakna, kebanyakannya adalah tidak bergejala atau bergejala ringan yang mampu untuk pulih semula.

"Bagaimanapun, saya sudah mengarahkan KKM supaya lebih bersedia untuk menerima kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan memberikan rawatan yang terbaik. Ini memandangkan dunia sedang mencatatkan trend kenaikan kes-kes Covid-19 dengan kemunculan varian-varian baharu yang lebih ganas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 1:58 PM