Suraya Roslan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini menjelaskan persoalan ramai mengapa kes harian positif Covid-19 dan kadar kematian masih tinggi sedangkan kadar liputan vaksinasi Covid-19 juga tinggi.

Menurutnya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada 24 Februari tahun ini sebagai salah satu langkah untuk mengawal pandemik Covid-19.

"Sehingga 31 Ogos (semalam), sebanyak 84.3 peratus populasi dewasa menerima satu dos vaksin Covid-19, manakala 64.2 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap.

"Kadar liputan imunisasi Covid-19 bagi populasi dewasa yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin di beberapa negeri seperti di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan melebihi 90 peratus, manakala lebih 75 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap," katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, bagi negeri-negeri lain, aktiviti pemberian vaksin sedang dipertingkatkan dan Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap vaksin Covid-19 pada akhir Oktober 2021.

"Peningkatan kes yang mendadak direkodkan bermula awal Julai lalu (minggu epidemik ke-26) terutamanya di Wilayah Persekutuan Labuan, Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

"Situasi ini selari dengan peningkatan kes jangkitan varian Delta di seluruh dunia termasuk Malaysia," katanya.

Menurutnya, mengambil kira situasi ketika itu, kerajaan membuat keputusan untuk mempertingkatkan pemberian vaksin Covid-19 di beberapa negeri berkenaan bagi mengurangkan kes jangkitan teruk dan kematian akibat Covid-19.

"Langkah ini bagi mengurangkan beban keupayaan fasiliti kesihatan termasuk penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam merawat Covid-19 untuk memastikan fasiliti kesihatan khususnya di negeri berkenaan kekal berfungsi pada tahap optimum.

"Perlu diingatkan, individu yang menerima vaksin Covid-19 masih berisiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 dan masih boleh menjangkiti orang lain tanpa mereka sedari.

"Keberkesanan vaksin juga tidak dapat ditunjukkan dengan serta merta.

"Keberkesanan vaksin yang optima dalam bertindak balas dan melindungi penerima vaksin mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu selepas dos kedua bagi vaksin yang memerlukan dua dos atau 28 hari selepas mengambil vaksin dos tunggal," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Menurutnya, keberkesanan vaksin itu dapat dibuktikan menerusi trend kemasukan pesakit dalam hospital di negeri dengan liputan penerima dos lengkap melebihi 50 peratus seperti Lembah Klang, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak yang menunjukkan penurunan.

"Trend penurunan kemasukan pesakit Covid-19 juga dapat dilihat di Hospital Sungai Buloh di mana penurunan sebanyak 53 peratus berbanding pada awal Ogos 2021.

"Bagi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang terdapat penurunan sebanyak 44 peratus bermula awal Ogos 2021 selepas sebulan aktiviti vaksinasi dipertingkatkan di Lembah Klang," katanya.

Khairy menjelaskan dan menegaskan, vaksin Covid-19 yang digunakan dalam PICK adalah berkesan terutamanya dalam mengurangkan risiko komplikasi jangkitan yang teruk.

"Daripada 16 Julai hingga 31 Ogos (semalam) sebanyak 865,472 kes Covid-19 dilaporkan.

"Daripada jumlah itu, 18,154 (2.1 peratus) adalah dalam kategori klinikal tiga hingga lima dan daripada kes sama, sebanyak 1,894 kes (10.4 peratus) mempunyai sejarah vaksinasi lengkap.

"Saya ingin menasihatkan dan memohon kepada orang ramai untuk mengambil vaksin Covid-19 supaya pandemik ini dapat dikawal dengan segera dan ekonomi negara dapat dipulihkan," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan individu dan masyarakat dilindungi daripada jangkitan Covid-19, semua individu sama ada yang sudah atau belum menerima vaksin perlu mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Strategi dua serangkai ini perlu berjalan seiring kerana ia saling melengkapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 7:24 PM