FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Menerima dua dos suntikan lengkap vaksin Covid-19 bukan 'tiket kebebasan' untuk melakukan apa saja.

Malah, mereka juga masih boleh dijangkiti Covid-19 dan menjangkitkan virus itu kepada orang lain.

Pakar Virologi Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, individu yang sudah melengkapkan suntikan vaksin perlu menunggu selama 14 hari lagi supaya tidak mendapat jangkitan Covid-19 dengan teruk.

"Mereka juga masih perlu memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan berada di tempat pengaliran udara yang baik serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Walaupun sudah menerima suntikan lengkap vaksin tidak bermakna tidak boleh dijangkiti dan tidak boleh menular jangkitan kepada orang lain.

"Perlu diingatkan, vaksin ini bertujuan mengurangkan kebarangkalian apabila dijangkiti dan mengalami jangkitan yang teruk sehingga memerlukan rawatan rapi di hospital serta mengurangkan kadar kematian," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau juga berharap kerajaan menilai semula kelonggaran untuk memberikan individu yang menerima dua dos vaksin Covid-19 melakukan rentas daerah atau negeri kerana ketika ini masanya belum sesuai.

"Masih tidak sesuai, lebih-lebih lagi kadar vaksinasi kita baru 15 peratus.

"Berdasarkan kajian saya, individu yang memperoleh dua dos vaksin, ada juga tidak ada imuniti. Kita pun tidak tahu kenapa dan masih dalam proses kajian.

"Malah, saya masih dalam mengkaji mereka yang sudah menerima suntikan dua dos vaksin ini berapa lama imuniti dia dapat bertahan sama ada seminggu, sebulan atau enam bulan, kami pun tidak tahu," katanya.

Mengulas lanjut mengenai varian Delta, varian baharu itu berkembang dan membiak dengan cepat berbanding varian sebelumnya.

"Varian Delta mengeluarkan virus yang banyak, kemungkinan anggaran satu juta hingga 100 juta.

"Varian dari Wuhan dulu memakan masa 12 hari untuk bergejala, tetapi varian Delta ini kurang tiga hari sudah bergejala disebabkan ia membiak dengan cepat," katanya.

Katanya, pihaknya menyarankan individu yang positif Covid-19 terutama varian Delta supaya mengamalkan cecair kumur mulut bagi mengurangkan virus.

"Langkah ini bukan untuk mengubat, tetapi mengurangkan virus di dalam mulut khusus bagi individu dijangkiti yang berada di tahap satu dan dua serta kuarantin di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 4:07 PM