Muhyiddin Yassin. FOTO IHSAN FB RTM
Muhyiddin Yassin. FOTO IHSAN FB RTM
Shamran Sarahan dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Hanya individu yang memenuhi kriteria vaksinasi lengkap saja akan menerima kemudahan seperti mana diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Muhyiddin berkata, antara kriteria itu adalah individu yang sudah menerima dua dosvaksin Pfizer, AstraZeneca atau Sinovac dan melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua.

Beliau berkata, bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, individu berkenaan mestilah melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

"Keputusan untuk memberi kemudahan kepada individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap dibuat dengan sangat berhati-hati.

"Ia selaras dengan data yang dikumpul di dalam negara tentang keberkesanan vaksinasi lengkap serta prinsip sains dan kesihatan awam yang digunapakai di seluruh dunia," katanya ketika menyampaikan Pengumuman Khas secara maya, hari ini.

Menerusinya, Muhyiddin mengumumkan beberapa kemudahan kepada individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap berkuat kuasa 10 Ogos ini.

Menurut Muhyiddin, keputusan memberi kemudahan kepada penerima vaksin lengkap juga dibuat selepas mengambil kira maklumbalas pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain mengamati masalah dan keadaan kebanyakan rakyat yang sudah mengalami kelesuan akibat pandemik Covid-19.

"Ada di antara kita yang tidak boleh pergi bekerja dan bersosial, ada yang punca pendapatan berkurangan, kehabisan simpanan, dan ada yang sudah tidak tahan duduk berkurung di rumah.

"Saya faham, ramai yang sudah letih dengan pandemik ini atau berhadapan dengan kelesuan pandemik (pandemic fatigue).

"Mengambil kira maklumbalas KKM, kerajaan bersedia memberikan kemudahan kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap," katanya.

Muhyiddin berkata, keputusan pemberian kemudahan itu semestinya akan memberi risiko peningkatan bilangan kes harian.

Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun tidak boleh memandang ringan manfaat selepas divaksin lengkap dan peranan kemudahan itu terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat serta aktiviti ekonomi negara.

"Penerima vaksin lengkap dapat mengukuhkan sistem pertahanan badan terhadap jangkitan virus Covid-19.

"Selain itu, mereka melindungi diri daripada mendapat gejala jangkitan yang lebih teruk serta mampu mengurangkan kadar kebolehjangkitan kes positif Covid-19 sebanyak 50 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 8:28 PM