ANTARA penerima vaksin Covid-19 di Puncak Alam, semalam. FOTO Faiz Anuar
ANTARA penerima vaksin Covid-19 di Puncak Alam, semalam. FOTO Faiz Anuar
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sejumlah 46.7 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 21.8 peratus mendapat dos penuh.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pencapaian itu selari dengan sasaran ditetapkan dan perlu dipertingkatkan lagi supaya sasaran 26 juta penduduk Malaysia menerima vaksinasi lengkap berjaya dicapai.

Katanya, dengan adanya vaksinasi, ia dapat membantu mengurangkan beban kes di hospital dan kes-kes jangkitan yang teruk, sekaligus melancarkan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Alhamdulillah semalam, kita berjaya mencapai kadar vaksinasi harian tertinggi setakat ini iaitu 507,050 dos.

"Ini menjadikan jumlah individu yang menerima dos pertama sehingga semalam ialah 10,920,862 dan sejumlah 5,104,054 individu lengkap menerima dua dos suntikan vaksin," katanya menerusi Facebook, hari ini.

Sejak 12 Julai lalu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) merekodkan pemberian dos harian sebanyak lebih 400,000 dos hampir setiap hari.

Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan kepada PICK terutamanya kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang membantu melancarkan pelaksanaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 10:45 AM