MUHYIDDIN meneliti bebuli (vial) vaksin Covid-19 jenis Sinovac yang dibotolkan Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd ketika melawat syarikat farmaseutikal itu di Taman Perindustrian Puchong Utama. FOTO Bernama
MUHYIDDIN meneliti bebuli (vial) vaksin Covid-19 jenis Sinovac yang dibotolkan Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd ketika melawat syarikat farmaseutikal itu di Taman Perindustrian Puchong Utama. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seratus peratus populasi dewasa di Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin Covid-19 menjelang Oktober depan.

Ia susulan tindakan yang diambil kerajaan untuk mempercepatkan sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), susulan penemuan varian baharu Covid-19 yang lebih ganas dan kes positif yang meningkat dengan mendadak.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mengikut jadual asal, 80 peratus rakyat Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022.

Bagaimanapun, katanya, sasaran ini kemudian dipercepatkan ke Disember depan.

"Kerajaan mensasarkan 100 peratus populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 1 Ogos ini.

"Selain itu, hampir semua negeri akan mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 50 peratus pada akhir Ogos ini, diikuti peningkatan kepada 70 peratus menjelang September.

"Sementara itu, kerajaan turut mensasar untuk mencapai kadar suntikan 500,000 dos sehari," katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasmi, hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan menempah lebih 76.1 juta dos vaksin iaitu 70 peratus Pfizer; 23.4 peratus Sinovac; 10 peratus Astrazaneca; 10.9 peratus CanSino dan 10 peratus daripada fasiliti COVAX.

Beliau berkata, setakat ini Malaysia sudah menerima 20 juta dos dari keseluruhan jumlah vaksin yang ditempah.

"Dijangkakan kita akan menerima jumlah keseluruhan 30 juta dos pada akhir bulan ini; 40 juta dos pada Ogos; 53 juta dos pada September dan 58 juta dos pada bulan Oktober.

"Baki selebihnya akan diterima antara bulan November 2021 hingga Januari 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 5:06 PM