Ismail Sabri.
Ismail Sabri.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sebanyak 67 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seperti yang diumumkan sebelum ini, kerajaan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh daripada segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang diwartakan.

Menurutnya, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 90,214 pemeriksaan di seluruh negara semalam dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,245 orang.

"Ia termasuk pemeriksaan ke atas 2,285 kilang, 16,822 premis perniagaan, 1,015 tapak pembinaan dan 456 asrama penempatan pekerja.

"Hasil daripada pemeriksaan itu, sebanyak 67 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mencatatkan jumlah tertinggi penerima vaksin sebanyak 421,479 dos, semalam.

Katanya, sebelum ini jumlah tertinggi untuk pemberian suntikan vaksin Covid-19 dalam sehari adalah 376,909 dos pada 9 Julai lalu.

Beliau berkata, Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mencatatkan 11,788,189 dos jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos 1 dan 2 di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 8:27 PM