GAMBAR fail, Ismail Sabri. FOTO Bernama
GAMBAR fail, Ismail Sabri. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 759 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 715 individu dikompaun, manakala 44 lagi direman.

Katanya, antara kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, tiada penjarakan fizikal, rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran, premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran dan lain-lain.

"Seramai 3,009 pasukan pematuhan membabitkan 13,910 anggota membuat pemantauan di 4,008 pasar raya, 6,108 restoran, 2,706 penjaja, 1,649 kilang, 3,814 bank dan 752 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau adalah 1,087 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (266) dan terminal pengangkutan udara (71)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, seramai, 36 pendatang tanpa izin (Pati) ditahan dalam Operasi Benteng dengan empat kenderaan darat serta sebuah bot atau kapal dirampas, semalam.

"Dalam operasi ini, 531 sekatan jalan raya SJR iaitu Op Penawar (476), Op Benteng Polis Diraja Malaysia (PDRM) (46) dan Op Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (9).

"Dalam operasi itu juga, sebanyak 110 bot dan kapal dikesan berada di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 86 operasi sanitasi membabitkan 39 zon merah, tiga zon jingga, tujuh zon kuning dan satu zon hijau dilaksanakan di seluruh negara, semalam.

"Sehingga kini, sebanyak 16,162 operasi sanitasi dilakukan sejak 30 Mac lalu merangkumi 146 zon secara keseluruhan.

"Antara premis yang disanitasi adalah pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 6:44 PM