Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) yang bersalin akan menikmati elaun cuti bersalin bermula tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, kumpulan itu sebelum ini diberikan cuti bersalin tetapi tidak layak dibayar elaun RM1,000 yang diterima setiap bulan.

Katanya, pembayaran elaun itu adalah usaha kerajaan menjaga kebajikan guru Kafa wanita sepanjang kontrak mereka berkuat kuasa dengan Agensi Pelaksana Kafa negeri.

"Elaun yang diterima mereka RM1,000 sebulan sebelum ini berjalan seperti biasa walaupun mereka sedang bercuti bersalin," katanya ditemui pada Majlis Perasmian Multaqa Murabbi Ummah Negeri Terengganu Tahun 2022 di Masjid Seberang Takir di sini, hari ini.

Sementara itu, Idris berkata, khidmat 1,000 guru takmir akan diperluaskan di agensi kerajaan yang lain berbanding hanya di masjid dan surau sebelum ini yang kuotanya berdasarkan nisbah jumlah institusi itu.

Menurutnya, pihaknya mahu melebar luaskan keperluan guru takmir mengajar di agensi lain seperti institusi penjara, institusi kebajikan warga emas Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK.

"Tahun ini, terdapat 5,000 guru takmir di seluruh negara termasuk 1,000 orang yang baharu dilantik dan pengagihan akan dibuat berdasarkan permohonan dan kuota yang kita tetapkan.

"Insha-Allah nama-nama (guru) kita pun sudah minta kepada pihak berkuasa agama negeri hantar dan kita saringkan nanti," katanya.

Untuk rekod, kerajaan persekutuan menyalurkan peruntukan RM65 juta kepada imam, bilal, guru takmir dan guru Kafa Terengganu pada tahun ini.

IDRIS berucap pada Majlis Perasmian Multaqa Murabbi Ummah Negeri Terengganu hari ini. FOTO Ghazali Kori.
IDRIS berucap pada Majlis Perasmian Multaqa Murabbi Ummah Negeri Terengganu hari ini. FOTO Ghazali Kori.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 3:34 PM