DINDING masjid yang diconteng dengan tulisan ‘Jangan buka bunyi terlalu kuat’. FOTO ihsan pembaca
DINDING masjid yang diconteng dengan tulisan ‘Jangan buka bunyi terlalu kuat’. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: "Dia tidak buat aduan kita pasang mengaji, sebaliknya dia buat aduan bunyi kuat saja. Kalau kita perlahankan pembesar suara mungkin dia boleh terima," kata Jamaludin Othman, bilal masjid di Taman Pengkalan Jaya, Jalan Pasir Puteh, di sini.

Sebelum ini tular dinding masjid itu diconteng cat merah tertera tulisan, 'Jangan buka bunyi terlalu kuat' baru-baru ini.

Jamaludin berkata, insiden itu bukanlah kali pertama berlaku sejak dia menjadi bilal masjid lapan tahun lalu, sebaliknya pernah berlaku tiga kali sebelum ini.

"Ketiga-tiga insiden itu berlaku tahun lalu namun ia hanya membabitkan nota kertas yang ditinggalkan di pagar masjid," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, pihak masjid tidak pernah mendapat aduan secara rasmi mengenai isu pembesar suara masjid yang boleh disampaikan menerusi peti aduan.

"Kita ada peti aduan namun tiada aduan mengenai isu ini.

"Apapun tindakan pelaku ini memang berani kerana kawasan pagar yang diconteng itu diterangi cahaya lampu pada waktu malam selain kawasannya lapang," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang tinggal berdekatan masjid berkata, bunyi pembesar suara masjid agak kuat sewaktu satu sesi kuliah selepas solat Maghrib baru-baru ini.

Katanya, suara penceramah menyampaikan kuliah agak nyaring dan mungkin menyebabkan bunyi pembesar suara menjadi lebih kuat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, ahli jawatankuasa (AJK) keselamatan masjid memaklumkan setiap pagi alunan bacaan al-Quran akan dipasang selama kira-kira 10 minit sebelum azan Subuh dikumandangkan.

Yahaya berkata, AJK masjid itu turut memaklumkan tiada mana-mana individu atau kumpulan yang pernah menyatakan rasa tidak puas hati secara lisan ataupun di media sosial mengenai bunyi kuat dari masjid.

Berita berkaitan

Masjid, surau diharap patuhi garis panduan penggunaan pembesar suara bagi jaga keharmonian

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 12:46 PM