MAMAT  (kanan)  bersama Saidi   mendalami ilmu agama ketika waktu lapang.
MAMAT (kanan) bersama Saidi mendalami ilmu agama ketika waktu lapang.

Kuala Berang: Seorang warga emas bukan hanya mengabadikan diri selama 63 tahun sebagai bilal masjid tetapi sanggup menyerahkan sebidang tanah sawah dan diwakafkan untuk dijadikan Masjid Kampung Peneh di sini, yang kini digunakan penduduk setempat.

Mamat Mat Zin, 87, berkata, dia menjadi bilal masjid sejak sebelum merdeka dan dilantik sehari sebelum Aidilfitri kerana bilal sedia ada uzur dan tidak boleh menjalankan tugas.

Katanya, ketika itu dia bersama tiga rakan lagi ke masjid dan melalui ujian tertentu dalam tempoh sehari dan dia terpilih menjadi bilal dan tugasnya bermula pada pagi Aidilfitri apabila melaungkan iqamat untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

“Sejak peristiwa itu, saya mula menjadi bilal hingga kini dan sudah menjangkau tempoh 63 tahun berkhidmat sebagai bilal, malah ketika mula menjadi bilal, saya terpaksa melaungkan azan menggunakan suara sendiri tanpa bantuan pembesar suara.

“Selama lebih 30 tahun, saya melaungkan azan tanpa pembesar suara malah ia dilakukan secara sukarela tanpa sebarang elaun seperti hari ini.

“Namun, selepas itu kerajaan melalui jabatan agama memperkenalkan elaun, bayaran ketika itu hanya RM10 sebulan untuk bilal dan imam pula RM15,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini masjid terletak di kawasan lain sebelum pembinaan rumah ibadat baru di atas tanah miliknya yang diwakafkan sebagai tapak masjid kira-kira 30 tahun lalu.

Katanya, sejak bergelar bilal, dia akan ke masjid seawal jam 4 pagi bagi melakukan persiapan bersama seorang bilal lagi yang dilantik jabatan agama.

“Sehingga sekarang saya masih mengingati pesan guru iaitu arwah Mamat Hassan yang juga imam tua di Kampung Peneh supaya tidak meninggalkan tugas itu,” katanya.

Mamat berkata, tiada sebarang petua diamalkannya bagi mengekalkan suara untuk melaungkan azan dalam usia emas tetapi dia bersyukur dengan anugerah suara yang baik dikurniakan Allah bagi membolehkannya mengajak umat Islam menunaikan solat.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Kampung Peneh Saidi Mohd, 42, mengakui Mamat sudah lama berkhidmat sebagai bilal di masjid berkenaan kerana bergelar bilal ketika dirinya masih kecil.

“Hingga kini suara Mamat masih nyaring, kuat ketika melaungkan azan dan iqamat walaupun usianya sudah meningkat selain kudrat, pendengaran dan penglihatan warga emas itu masih baik.

“Ketabahan yang ada pada warga emas itu amat menakjubkan kerana masih mampu bertugas dengan baik dan ia boleh menjadi contoh dan teladan kepada generasi muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 5:46 AM