SEBUAH daripada tiga bot yang ditahan oleh Maritim Malaysia Pahang kira-kira 20 batu nautika timur Kuala Kuantan, Kuantan. FOTO ihsan Maritim Malaysia
SEBUAH daripada tiga bot yang ditahan oleh Maritim Malaysia Pahang kira-kira 20 batu nautika timur Kuala Kuantan, Kuantan. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Asrol Awang


Kuantan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga bot nelayan tempatan disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menggaji 21 kru warga asing tanpa kebenaran kira-kira 20 batu nautika timur Kuala Kuantan, di sini, kelmarin.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, pihaknya mengesan tiga bot berkenaan sedang menjalankan aktiviti perikanan secara berkelompok dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri sebaik dihampiri pada 12 tengah hari.

Katanya, pemeriksaan mendapati ketiga-tiga bot nelayan itu dikendalikan tekong warga Vietnam bersama awak-awak warga Vietnam berusia 19 sehingga 46 tahun.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga bot itu disyaki melanggar syarat sah lesen serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.

"Kesemua kru termasuk tekong ditahan dan bot diiring ke jeti Pusat Tahanan Vesel APMM Pahang. Peralatan menangkap ikan dan hasil laut dianggarkan seberat 300 kilogram juga dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 8:35 PM