GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Asrol Awang


Kuantan: Cubaan merasuah penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebanyak RM2,000 hanya mengundang padah lebih buruk buat seorang tekong Vietnam.

Dia yang mengemudi sebuah bot nelayan sebelum itu ditahan bersama dua lagi bot senegara kerana menceroboh perairan Malaysia dan menangkap ikan di kedudukan 64 batu nautika dari timur Kuala Pahang, semalam.

Pengarah APMM Pahang Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, pasukan KM Langkawi yang melaksana Op Kuda Laut pada jam 7 pagi mengesan semua bot berkenaan yang berciri bot Vietnam dengan satu daripadanya menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, terdapat 45 kru termasuk tiga tekong berumur 17 hingga 53 tahun di atas ketiga-tiga bot yang semuanya warganegara Vietnam dan tiada dokumen pengenalan sah.

"Ketika ditahan, seorang tekong cuba merasuah dengan menawarkan RM2,000 kepada anggota penguat kuasa bagi tujuan membebaskan mereka serta bot.

"Dalam kes ini, kita sentiasa memastikan (ingatkan) anggota Maritim Malaysia melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga merampas tiga tan hasil laut dan bekalan diesel sebanyak RM14,000 selain peralatan menangkap ikan dan bot dengan nilai keseluruhan mencecah RM3 juta.

Katanya, tiga bot berkenaan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman, Terengganu manakala 45 kru nelayan asing itu menjalani saringan Covid-19 sebelum ditahan.

Buat masa ini, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 16(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana memasuki dan menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pengenalan diri yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 6:07 PM