UNIVERSITI Multimedia
UNIVERSITI Multimedia
Samadi Ahmad


Sepang: Sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka dan beroperasi di Dewan Tun Canselor Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid, berkata pembukaan PPV MMU itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak tiga PPV beroperasi di daerah ini.

Menurutnya, penambahan PPV itu adalah komitmen Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Pusat bersama negeri dan daerah terhadap Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam mencapai imuniti kelompok di seluruh negara.

Katanya, CITF daerah Sepang akan terus komited membantu PPN sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"PPV MMU ini adalah PPV mega ke dua selepas PPV Movenpick Hotel, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mampu memberi suntikan kepada 3,000 penerima sehari," katanya.

Movenpick Hotel Convention Centre KLIA mula beroperasi sebagai PPV Mega pada 5 Julai lalu, yang berkeluasan 178,381 kaki persegi serta mampu menampung kapasiti 5,000 janji temu penerima vaksin setiap hari.

Selain itu, satu lagi PPV di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) mampu menerima kehadiran kira-kira 1,000 penerima suntikan vaksin sehari.

Mohamad Zain berkata, PPV MMU akan beroperasi bermula dari jam 8.30 pagi sehingga jam 9 malam, tujuh hari seminggu termasuk cuti umum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 5:59 PM