Foto hiasan
Foto hiasan
Redzuan Muharam

Sepang: Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA (Movenpick) akan mula beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega terbaru mulai Isnin ini.

Pengurus Besarnya, Wan Enderi Mohd Saad berkata, PPV itu akan beroperasi setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 9 malam.

Menurutnya, menjadi satu penghormatan apabila Movenpick terpilih sebagai PPV mega bagi daerah itu.

"Perkhidmatan disediakan tidak terhad kepada tetamu hotel tetapi juga diperluaskan kepada komuniti.

"Ia sebahagian tanggungjawab sosial korporat kami dan satu cara syarikat memberi balik kepada komuniti setempat.

"Sebagai sebuah pemain industri pelancongan negara, pihak hotel berharap apabila negara mencapai imuniti kelompok dan kerajaan mempertimbangkan untuk membuka industri pelancongan domestik dengan lebih cepat yang secara amnya nanti dapat membantu industri perhotelan kembali membangun," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Wan Enderi, Pusat Konvensyen Movenpick KLIA mempunyai keluasan 16,572 meter persegi dan mampu menampung kapasiti sebanyak 5,000 janji temu setiap hari.

Katanya, sistem operasi hotel juga diselaraskan bagi memastikan garis panduan keselamatan dipatuhi sepenuhnya.

"Kolaborasi antara Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan pihak pengurusan Movenpick adalah atas dasar tanggungjawab sosial korporat dan nilai kemasyarakatan serta usaha untuk mengekang penularan pendamik Covid-19.

"Maklumat penuh berkenaan perjalanan vaksin di Movenpick boleh didapati di laman web rasmi kami dengan mengimbas kod bar yang tertera," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 11:03 AM