SUASANA dalam PPV WTCKL. FOTO Bernama
SUASANA dalam PPV WTCKL. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Selepas 115 hari beroperasi, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) bakal memberikan dos vaksin AstraZeneca yang ke sejuta hari ini.

Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur merangkap Pengerusi Majlis Penasihat Anggota World Trade Centre Associations, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, peristiwa bersejarah ini akan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang hari ini.

Beliau berkata, kehadiran Perdana Menteri jelas menunjukkan keprihatinan pemimpin negara untuk membawa Malaysia keluar daripada pandemik Covid-19 bagi menggerakkan usaha pemulihan ekonomi negara secara drastik dan berkesan.

"Alhamdulillah, ini adalah antara sumbangan yang PPV WTCKL dapat lakukan bagi membantu mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok di Malaysia serta melindungi diri kita dan orang sekeliling daripada wabak Covod-19 ini.

"Setelah 115 hari beroperasi, PPV Mega WTCKL mencapai pemberian dos vaksin yang ke sejuta.

"PPV Mega WTCKL dijangka terus beroperasi sehingga 3 Oktober depan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Irmohizam turut merakam penghargaan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) dan seluruh tenaga kerja anggota petugas di PPV Mega WTCKL termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Saya juga menghargai tenaga kerja warga WTCKL yang juga membantu dari segi pengawalan jarak 'crowd', keselamatan pengudaraan bangunan dan kelancaran pergerakan di PPV Mega WTCKL," katanya.

Beliau berkata, ia adalah pencapaian sangat menakjubkan ketika negara sedang berada dalam bulan kemerdekaan Malaysia ke-64.

Menurutnya, ia boleh dijadikan rujukan bagi 320 Pusat Dagangan Dunia (WTC) lain di seluruh dunia.

"PPV Mega WTCKL juga bersedia sekiranya pengoperasian perlu diteruskan lagi selepas 3 Oktober," katanya.

Mengikut jadual, penerima ke sejuta dos vaksin AstraZeneca petang ini akan dilakukan sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 3:38 PM