DR Noraini (tiga dari kanan) beramah mesra dengan orang ramai yang mendapatkan suntikan vaksin di PPV IPT Mega USIM.
DR Noraini (tiga dari kanan) beramah mesra dengan orang ramai yang mendapatkan suntikan vaksin di PPV IPT Mega USIM.
Suliati Asri


MENGAMBIL inisiatif dan menzahirkan kepekaan serius dalam isu pandemik Covid-19 di peringkat global, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyokong saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang komited untuk menggerakkan dan menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam usaha menyokong kerajaan memastikan lebih ramai rakyat dapat suntikan vaksin dan mencapai imuniti kelompok.

Lebih membanggakan, Dewan Tuanku Canselor yang menjadi lokasi PPV IPT Mega USIM adalah PPV IPT Mega pertama yang beroperasi di Negeri Sembilan sekali gus menjadi lokasi utama bagi rakyat Negeri Sembilan khususnya yang berada di Daerah Seremban.

Antara objektif PPV IPT Mega USIM ini ditubuhkan adalah untuk bersama-sama memastikan kadar pemberian dan penerimaan vaksin Covid-19 kepada warga Negeri Sembilan dapat dipertingkatkan.

Ini penting bagi memastikan sasaran imuniti kelompok dalam kalangan warga Negeri Sembilan secara khususnya dan Malaysia secara amnya dapat dicapai dengan segera.

USIM yang diterajui Jawatankuasa Induk PPV IPT Mega USIM sebagai sekretariat secara komited merancang kelancaran perjalanan program PPV IPT Mega USIM ini agar berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.

Penubuhan PPV IPT Mega USIM ini juga atas kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

Kerjasama ini secara tidak langsung menggambarkan kebersamaan warga USIM di dalam menangani pandemik Covid-19 dan kerjasama itu adalah suatu bentuk kolaborasi unik.

PPV IPT Mega USIM ini boleh memuatkan sehingga 400 penerima vaksin pada satu-satu masa dengan tempoh operasi bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Untuk permulaan, sebanyak 1,500 suntikan akan diberikan di PPV IPT Mega USIM ini. Jumlah ini akan ditingkatkan sehingga 3,000 penerima vaksin sehari apabila bekalan vaksin tiba nanti.

Dalam usaha untuk menyediakan keselesaan kepada orang ramai, Pentadbir USIM melalui Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas USIM (Pragmatis) menggerakkan usaha mengumpul dana bagi pembelian 50 unit kerusi roda berharga RM250 sebuah untuk disumbangkan ke PPV IPT Mega USIM.

Dr Noraini ketika melawat persiapan dan operasi di PPV IPT Mega USIM memuji inisiatif yang dilakukan Pentadbir USIM.

"Usaha ini adalah satu contoh sikap keprihatinan warga universiti yang tinggi terhadap keperluan masyarakat.

"Malah usaha ini juga mencapai sasarannya dan semua kerusi roda ini sudah mula dimanfaatkan untuk kegunaan orang ramai sejak hari pertama PPV IPT Mega USIM ini beroperasi," katanya.

Dr Noraini turut berpuas hati dengan persiapan dan operasi yang dilakukan USIM dalam menguruskan PPV IPT Mega USIM ini.

"Terima kasih kepada Naib Canselor USIM Profesor Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin dan Pengarah PPV IPT Mega USIM Profesor Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris yang sudah bertungkus lumus menjayakan operasi PPV IPT ini.

"Selain daripada petugas CITF, MyVac, RELA dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), seramai 80 petugas dari USIM yang terdiri daripada 60 kakitangan medikal dan 20 bukan medikal turut terbabit dalam pengoperasian PPV IPT ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 6:45 AM