Mohd Khidir Zakaria


Nilai: Seorang pemuda sanggup mengetepikan cita-citanya untuk bergelar Ustaz dan berhenti belajar demi menjaga ibunya yang kini terlantar sakit.

Mohd Ikmal Hakimi Zulkifli, 21, berkata, dia memutuskan untuk berhenti belajar di Sekolah Tahfiz Bustanol Ariffin, Banting, Selangor kerana ibunya lebih memerlukan perhatian.

Katanya, sudah tiba masa untuk dia berbakti kepada ibunya yang mengalami sakit kencing manis dan darah beku di kaki.

Mohd Ikmal berkata, selain menjaga ibu, Siti Zaiton Zainuddin, 53, dia juga turut menguruskan rumah seperti memasak dan mengemas rumah.

"Saya mengambil ini sebagai salah satu tanggungjawab kerana abang dan kakak perlu bekerja demi menyara keluarga kami.

"Bagi saya kami semua perlu memainkan peranan demi ibu walaupun perlu berkorban masa dan tenaga kerana menjaga ibu ini lebih berharga daripada segalanya.

"Saya kira pengorbanan untuk memastikan ibu selesa berada di rumah dengan dijaga anaknya sendiri itu lebih bermanfaat," katanya ketika di temui di Taman Semarak 2, di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, katanya, sebelum ini mereka empat beradik bergilir menjaga ibu selepas bapa meninggal dunia kerana sakit jantung pada tahun 2019.

FARAH (kanan) dan adiknya Mohd Ikmal (kiri) yang terpaksa berhenti tahfiz sejak tahun lalu untuk menjaga ibunya Siti Zaiton Zainudin (tengah). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
FARAH (kanan) dan adiknya Mohd Ikmal (kiri) yang terpaksa berhenti tahfiz sejak tahun lalu untuk menjaga ibunya Siti Zaiton Zainudin (tengah). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

"Tetapi pada tahun lalu adik bongsu berusia 16 tahun pula meninggal kerana kuman dalam darah. Tinggal kami bertiga. Selepas berbincang, kami sepakat sebelum saya ambil keputusan berhenti belajar kerana ibu tidak boleh bersendirian," tambahnya.

Katanya, mereka bimbang dan tidak mahu ambil risiko jika ibunya tinggal bersendirian di rumah.

"Lagipun setiap hari kami akan mandikan ibu di luar rumah kerana bilik air di dalam rumah sempit dan tidak selesa.

"Saya juga bersyukur kerana jiran-jiran di rumah flat ini faham dan tiada yang membuat aduan berhubung tempat mandi di luar rumah kami biarpun nampak agak tidak sesuai.

"Bagi saya sebagai anak, kita tiada alasan untuk tidak mengambil tanggungjawab ini (jaga ibu) kerana ia juga tuntutan agama, apa ertinya ada ilmu tetapi ibu terbiar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 3:13 PM