GAMBAR kenangan Muhamad Ikmal (dua dari kanan) bersama ibu tercinta, Nor Liza (dua dari kanan). FOTO Ihsan Muhamad Ikmal Abd Rashid
GAMBAR kenangan Muhamad Ikmal (dua dari kanan) bersama ibu tercinta, Nor Liza (dua dari kanan). FOTO Ihsan Muhamad Ikmal Abd Rashid
Redzuan Muharam


Bagan Serai: Keterujaan Muhamad Ikmal Abd Rashid untuk bergelar raja sehari bertukar menjadi episod duka apabila ibunya, Nor Liza Shaari, 57, dijemput Ilahi sehari sebelum majlis pernikahannya dengan isteri, Siti Nur Diana Baharin.

Lebih menyedihkan apabila Muhamad Ikmal, 26, perlu menguruskan pengebumian jenazah ibunya dan meneruskan pernikahan pada sebelah petang hari yang sama.

Berkongsi kisahnya, Muhamad Ikmal dari Kampung Sungai Semambu, di sini, berkata, hanya Allah sahaja tahu perasaannya apabila diuji dengan pemergian ibu menjelang hari bahagianya, Sabtu lalu.

"Emak tiada sakit kronik, cuma sebelum ini mengadu sakit dada dan kepala.

"Pagi Jumaat lalu, emak sempat sembang dengan saya dan sudah buat tempahan pembelian tanah untuk tambak bagi luaskan halaman rumah menjelang majlis kenduri perkahwinan saya, 17 Jun depan.

"Dalam perbualan itu, emak titipkan beberapa pesanan dan tak sangka emak meninggal dunia jam 6 petang hari sama.

"Saya tahu pun selepas kakak panggil beritahu emak sudah tak bernyawa ketika baring di ruang tamu dan macam tak percaya rasanya," katanya.

Ikutkan hati, Muhamad Ikmal mahu menangguhkan majlis pernikahan bersama Siti Nur Diana, 26, kerana masih dalam kesedihan susulan pemergian ibunya.

Bagaimanapun dia meneruskan pernikahan selepas dinasihatkan keluarga.

"Kakak nasihat jangan batalkan dan saya ikut kerana mengenangkan semua persediaan sudah dibuat, jadi tak nak malukan keluarga isteri.

"Sepatutnya nikah jam 11 pagi (Sabtu lalu), tetapi kami anjak ke jam 3 petang kerana perlu uruskan pengebumian jenazah ibu yang selesai jam 10.30 pagi.

"Ketika majlis (akad nikah), fikiran saya kosong dan tak boleh fokus dengan apa tok kadi kata, malah tak henti menangis namun bersyukur dapat sempurnakan akad nikah dengan sekali lafaz," katanya.

MUHAMAD Ikmal sempat menguruskan jenazah ibunya sebelum hadir ke majlis akad nikah pada petang hari yang sama. Gambar kiri ibu Muhamad Ikmal, Nor Liza.  FOTO Ihsan Muhamad Ikmal Abd Rashid
MUHAMAD Ikmal sempat menguruskan jenazah ibunya sebelum hadir ke majlis akad nikah pada petang hari yang sama. Gambar kiri ibu Muhamad Ikmal, Nor Liza. FOTO Ihsan Muhamad Ikmal Abd Rashid

Menurutnya, apa membuatkannya sedih apabila mengenangkan arwah ibu yang tidak sabar menanti hari pernikahannya.

"Saya anak bongsu dalam keluarga dan satu-satunya anak lelaki, jadi emak paling semangat buat persediaan.

"Macam-macam dirancangnya untuk pastikan majlis perkahwinan saya meriah namun hasratnya tak kesampaian kerana Allah lebih menyayanginya.

"Sedih kenangkan hari perkahwinan saya tanpa orang tua kerana ayah (Abd Rashid Arshad) baru meninggal dunia Januari lalu dan baru-baru ini emak pula, namun itulah ketentuan-Nya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 8:00 PM