NORHAFSYAH (duduk, dua dari kanan), Noraisyah (duduk, kiri) bersama ibu mereka, Siti Ama dan tetamu yang mengunjungi rumah mereka di Felda Ulu Tebrau. FOTO Mary Victoria Dass
NORHAFSYAH (duduk, dua dari kanan), Noraisyah (duduk, kiri) bersama ibu mereka, Siti Ama dan tetamu yang mengunjungi rumah mereka di Felda Ulu Tebrau. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


“SAYA akan terus menjaga ibu kerana ibu banyak berkorban demi membesarkan kami adik-beradik,” kata Norhafsyah Samsudin, 17, yang ditemui di di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, hari ini.

Norhafsyah sanggup berhenti sekolah demi memberi tumpuan menguruskan ibunya, Siti Ama Kassim, 49, yang kehilangan kedua kaki dan penglihatan akibat kencing manis sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, rutin hariannya termasuk memandikan ibu, menukar lampin pakai buang dan menyuapkan makanan.

Katanya, dia juga dibantu kakak, Noraisyah, 19, yang menjalankan tugas memasak.

“Kakak sedang mencari pekerjaan selepas berhenti kerja baru-baru ini, manakala abang berusia 25 tahun bekerja sebagai petugas syarikat swasta bagi semburan nyamuk dan pendapatannya kira-kira RM900 setiap bulan.

“Adik bongsu saya berusia 14 tahun dan belajar di tingkatan tiga. Demi memastikan mereka tidak terganggu, saya ambil keputusan menjaga ibu sepenuh masa,” katanya.

Norhafsyah berkata, dia dan keluarga sentiasa menjaga pemakanan ibu supaya tahap glukosa dalam darah terkawal dengan menu disediakan kebiasaannya adalah tauhu dan tempe.

Menurutnya, mereka juga tidak putus berdoa supaya kesihatan ibunya bertambah baik.

Katanya, sejak kehilangan kaki dan penglihatan, ibunya hanya mampu bergerak dengan bantuan individu lain.

“Ibu banyak berkorban demi kami kerana selepas berpisah dengan bapa sejak lima tahun lalu, dia menyara kami dengan menjual sarapan pagi seperti nasi lemak dan kuih-muih.

“Dia tidak pernah menganggap kami sebagai beban namun nasibnya umpama jatuh ditimpa tangga kerana menghidapi beberapa jenis penyakit hingga membataskan pergerakannya dan mengakibatkan dia berhenti berniaga.

“Seperti ibu, saya juga minat berniaga dan bercadang untuk mengambil kursus keusahawanan pada masa depan sekiranya ada peluang,” katanya ketika menerima kunjungan Pembantu Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Faiz Hussein dan wakil Jejak Asnaf MAIJ, Mohd Nasir Ishak.

MAIJ turut menyampaikan barangan keperluan dan kerusi roda kepada Siti Ama.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia Parlimen Tebrau, Romizati Mohd Amin dan Ketua Wanita UMNO Tebrau, Rapenah Ali.

Norhafsyah berkata, bagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini keluarganya masih belum melakukan sebarang persiapan.

Menurutnya, pembelian barangan keperluan ibu termasuk lampin pakai buang masih menjadi keutamaan berbanding membuat persiapan Aidilfitri.

Katanya, keluarganya juga bersyukur menerima bantuan bulanan daripada MAIJ berjumlah RM500 selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.

“Pada tahun lalu kami hanya berpeluang membeli baju raya selepas menerima sedikit sumbangan kewangan daripada pengurusan masjid di sini, menerusi program amal.

“Sekiranya ada rezeki, kami akan membeli baju raya termasuk keperluan ibu dan barangan persiapan yang lain.

“Kami juga bersyukur kerana pada hari ini, ibu menerima sumbangan kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank Bank Simpanan Nasional Siti Ama 01136 41000045464.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 6:37 PM