Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: "Selagi ibu bernafas, menjadi tanggungjawab saya untuk menjaganya sehingga ke akhir hayat."

Ia janji Hazana Abd Hamid, 45, yang turut sanggup mengetepikan kepentingan diri dengan tidak berkahwin semata-mata mahu memastikan ibunya yang uzur serta adik perempuannya yang menghidap penyakit saraf Cerebral Palsy (CP) mendapat penjagaan rapi.

Katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Beris Jambu, Panji di sini, dia tidak pernah lelah menguruskan ibunya, Kamariah Daud, 88, yang terlantar sejak 10 tahun lalu akibat kemalangan serta adiknya, Siti Zulaiha Abd Hamid, 30, yang juga orang kurang upaya (OKU).

"Kini, kesihatan ibu semakin merosot selepas diserang angin ahmar membabitkan bahagian kiri badan sejak sebulan lalu selain tidak lagi dapat melihat.

"Ibu juga bergantung sepenuhnya kepada saya dan anak-anak lain untuk menguruskan dirinya kerana tidak mampu bergerak dan bercakap selain perlu disuapkan makan, minum juga dimandikan," katanya.

HAZANA menjaga dan menguruskan ibunya, Kamariah yang terlantar sejak 10 tahun lalu akibat kemalangan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
HAZANA menjaga dan menguruskan ibunya, Kamariah yang terlantar sejak 10 tahun lalu akibat kemalangan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Hazana berkata, bagaimanapun ujiannya tidak terhenti setakat itu apabila ibu kandung kepada Siti Zulaiha pula meninggal dunia.

Hazana kini mengambil alih penjagaan Siti Zulaiha selepas bapa mereka dan ibu kandung adiknya itu meninggal dunia.

"Saya secara sukarela mengambil tanggungjawab menjaga Siti Zulaiha kerana tidak ada sesiapa yang boleh menjaganya.

"Siti Zulaiha disahkan menghidap CP ketika berusia lima bulan sehingga menyebabkan dia tidak boleh bercakap dan perlu diurus seperti bayi termasuk makan, mandi serta membuang air kecil dan besar," katanya.

Menurut Hazana, bagi menguruskan keperluan dua insan tersayang itu, rutin hariannya bermula jam 6.30 pagi yang mana dia akan menyiapkan keperluan mereka sebelum dia keluar bekerja sebagai pembantu kedai makan yang terletak berhampiran rumahnya.

"Saya perlu mencari pekerjaan yang berdekatan dengan rumah dan hanya bekerja sehingga jam 12 tengah hari kerana perlu pulang ke rumah untuk menguruskan ibu serta adik.

"Saya memperoleh RM30 di kedai makan itu dan ia mencukupi untuk perbelanjaan harian kami," katanya.

HAZANA juga menjaga adik perempuannya, Siti Zulaiha yang menghidap penyakit saraf Cerebral Palsy (CP) selepas kematian ibu kandungnya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
HAZANA juga menjaga adik perempuannya, Siti Zulaiha yang menghidap penyakit saraf Cerebral Palsy (CP) selepas kematian ibu kandungnya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Pihak yang ingin membantu boleh menghubungi Hazana di talian 019- 6997244.

Hazana juga bersyukur kerana Siti Zulaiha mendapat bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pada masa sama, ibunya juga mendapat bantuan bulanan RM400 daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

"Setiap bulan, saya membelanjakan hampir RM1,000 untuk membeli lampin pakai buang ibu serta adik. Pada ibu juga hanya bergantung kepada susu formula khas yang berharga RM95 setin, ia mampu bertahan untuk tiga hari sahaja.

"Saya perlu memberi ibu minum susu empat kali sehari melalui saluran tiub yang dipasang di hidungnya.

"Bantuan bulanan yang diperoleh cukup untuk membeli barang keperluan mereka, namun saya tetap bersyukur kerana ia meringankan beban yang ditanggung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 7:01 AM