SITI Najikhah (berdiri tengah) bergambar bersama dengan anak-anak buahnya di Sekinchan.
SITI Najikhah (berdiri tengah) bergambar bersama dengan anak-anak buahnya di Sekinchan.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Acik akan terus kuat untuk menjaga kamu semua dengan segala yang terdaya.

"Walaupun tanpa Embah Lanang (datuk), Embah Wedok (nenek), mama dan abah, Acik akan beri kasih sayang untuk ganti mereka," kata penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Siti Najikhah Md Hamin.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam berusia 22 tahun itu kini menggalas tanggungjawab untuk menjaga anak saudaranya yang yatim piatu selepas kematian abang dan kakak iparnya tahun lalu.

Bukan itu sahaja, lebih memeritkan apabila tonggak kekuatannya, bapanya, Md Hamin Taha meninggal dunia Mac lalu dan terbaharu ibunya, Martini Saleh pula menyusul minggu lalu.

Ini bermakna dia yang masih belajar menjadi antara waris terdekat untuk menjaga anak buahnya itu termasuk salah seorang daripadanya orang kurang upaya (OKU).

"Sebelum ini semuanya baik-baik sahaja sehinggalah kakak ipar saya, Noor Azlina Mat Isa meninggal dunia akibat barah payudara tahun lalu.

''Kemudian abang saya, Mohd Norhelmi Md Hamin pula meninggalkan kami akibat barah, Ogos tahun lalu dan sejak itu, saya nekad menjaga anak-anak buah ini sebaik mungkin dengan sokongan emak dan ayah.

"Saya yang hanya bergantung kepada emak dan ayah sekali lagi diuji apabila ayah dijemput Ilahi, Mac lalu manakala emak minggu lalu. Apapun, saya perlu kuat untuk teruskan hidup bersama semua anak saudara," katanya.

Menurutnya, dia anak bongsu dalam keluarga dan tiga abangnya sudah meninggal dunia.

SITI Najikhah (belakang kanan) bergambar dengan arwah ibu, bapa dan abangnya yang kembali ke rahmatullah.
SITI Najikhah (belakang kanan) bergambar dengan arwah ibu, bapa dan abangnya yang kembali ke rahmatullah.

Katanya, selepas ibunya meninggal dunia, dia berbincang dengan keluarga arwah kakak iparnya yang bersetuju untuk membantu menjaga tiga anak saudaranya, Nur Ifti Inshirah, 15, Nur Ariyana, 7, dan Nur Khalisah, 5, apatah lagi Inshirah memerlukan pemerhatian rapi kerana tidak mampu menguruskan diri.

Menurutnya, hanya Nur Aliya, 11, tinggal bersamanya dengan keluarga seorang lagi kakak ipar di rumah pusaka ibu bapanya di Kampung Batu 23, Sungai Nibong, Sekinchan, Selangor.

Katanya, keadaan itu melegakannya kerana dia bimbang tidak mampu menguruskan mereka serentak kerana perlu menumpukan perhatian kepada pengajiannya.

"Rumah keluarga arwah kakak ipar kira-kira 30 kilometer di Kuala Selangor dan jika ada masa terluang, saya dan Aliya akan ke sana mengunjungi mereka.

"Masa arwah emak dan ayah ada dahulu, saya diamanahkan untuk jaga mereka. Mereka perlukan kasih sayang keluarga. Setakat ini untuk anak saudara yang tiga orang itu tidak ada masalah kewangan kerana arwah abang dan kakak ipar ada pencen dan ia cukup untuk mereka.

"Untuk anak sulung yang OKU, memang memerlukan wang untuk membeli lampin pakai buang.

"Cuma saya bimbang tidak dapat memberikan kasih sayang secukupnya kerana masih berada pada tahun akhir pengajian.

"Jadi saya mohon kepada semua, doakan saya kuat dan dipermudahkan urusan untuk menjaga amanah ini," katanya.

Katanya, ada masanya dia tertekan dengan keadaan itu, namun bersyukur masih boleh melaluinya setakat ini.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Siti Najikhah, 12056022858675.

PENGARAH Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril menyampaikan dermasiswa kepada Siti Najikhah (tengah).
PENGARAH Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril menyampaikan dermasiswa kepada Siti Najikhah (tengah).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 12:03 PM