Skrip sudah tersedia dalam sistem komputer untuk mempengaruhi kaki judi (kiri) dan keadaan ruang pusat operasi judi dalam talian di sebuah rumah di Jalan Changkat Duta Kiara, Mont Kiara di Kuala Lumpur yang diserbu polis hari ini.
Skrip sudah tersedia dalam sistem komputer untuk mempengaruhi kaki judi (kiri) dan keadaan ruang pusat operasi judi dalam talian di sebuah rumah di Jalan Changkat Duta Kiara, Mont Kiara di Kuala Lumpur yang diserbu polis hari ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


HANYA perlu ikut skrip disediakan sindiket perjudian bagi memancing warga China agar terpengaruh untuk berjudi dalam talian.

Malah skrip dalam bahasa Cina itu disimpan dalam sistem komputer dan akan digunakan ketika memujuk rakyat di negara asal mereka untuk berjudi dalam talian.

Itu dilakukan 98 warga China yang masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong sebelum bekerja dengan sindiket perjudian dalam talian dengan bayaran RM3,000 hingga 6,000 sebulan.

Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar selepas Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) menyerbu empat buah banglo tiga tingkat di Jalan Changkat Duta Kiara, Mont Kiara di Kuala Lumpur yang dijadikan pusat operasi judi hari ini.

Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin berkata, serbuan Ops Dadu itu dijalankan pada 10.30 pagi selepas menerima maklumat berhubung kegiatan terbabit.

Menurutnya, seramai 82 lelaki dan selebihnya wanita ditahan ketika mereka sedang bekerja di kediaman itu yang turut menjadi tempat tinggal mereka.

“Kami turut merampas 66 komputer riba, 23 set komputer, 555 telefon pintar, 11 modem dan lapan router.

“Melalui siasatan awal, mereka itu dipercayai beroperasi sejak awal tahun ini, malah ada yang baru masuk Jun lalu menggunakan pas pelancong,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan.

KOLEKSI Mohd Juraime. FOTO FAIZ ANUAR
KOLEKSI Mohd Juraime. FOTO FAIZ ANUAR

Mohd Hedzir berkata, mereka hanya mensasarkan warga China untuk berjudi dan dianggarkan mampu meraih keuntungan sehingga RM72,000 setiap hari bagi empat premis terbabit.

“Kita anggarkan lebih 1,000 orang berjudi dalam talian selepas membuat bayaran kepada mereka ini yang menyewa rumah itu RM16,000 sebulan setiap sebuah.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41c Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 3:05 PM