Polis sedang mengesan pesakit Covid-19, Rozila Mohd Jaya, 31.
Polis sedang mengesan pesakit Covid-19, Rozila Mohd Jaya, 31.
Oleh Melvin Joni


Padawan: Polis sedang mengesan pesakit Covid-19, Rozila Mohd Jaya, 31, yang dipercayai melarikan diri dari Pusat Kuarantin Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) di Jalan Puncak Borneo di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, usaha mengesan Rozila, berasal dari Kampung Semariang, Petra Jaya sedang giat dijalankan.

"Kami menerima laporan berkaitan kes ini jam 10.50 pagi dan kehilangannya disedari oleh petugas kesihatan.

"Wanita itu sepatutnya menjalani tempoh kuarantin di Pusat Kuarantin KSKB bermula 6 Jun lalu sehingga 13 Julai ini.

"Dia dipercayai melarikan diri dengan memanjat pagar bangunan," katanya dihubungi.

Menurut beliau, ketika kejadian, anggota Rela sedang bertugas mengawal di pintu masuk pusat kuarantin.

Tiada kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 7:47 PM