Suspek yang mengamuk tidak dapat keluar dari kawasan  Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Telaga Air, Kuching, ditahan polis. FOTO IHSAN POLIS
Suspek yang mengamuk tidak dapat keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Telaga Air, Kuching, ditahan polis. FOTO IHSAN POLIS
Norsyazwani Nasri


Kuching: Seorang lelaki naik angin dengan menyerang anggota keselamatan yang bertugas apabila gagal keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Telaga Air di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, lelaki berusia 30 tahun itu menyerang anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS ) yang bertugas dengan batang kayu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, suspek dikatakan mahu keluar dari kawasan PKPD itu namun dihalang petugas keselamatan.

Katanya, anggota keselamatan meminta suspek balik ke rumah tetapi dia enggan berbuat demikian sebelum bertindak agresif.

"Suspek mengacukan batang kayu panjang ke arah anggota keselamatan dan berlaku pergelutan.

"Suspek berjaya ditangkap dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum dibawa ke Balai Polis Siburan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, suspek direman empat hari mulai hari ini sehingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 3:18 PM