LELAKI yang tidak mahu memakai pelitup muka dibelasah oleh pekerja sebuah pasar raya di Kota Sentosa.
LELAKI yang tidak mahu memakai pelitup muka dibelasah oleh pekerja sebuah pasar raya di Kota Sentosa.
Melvin Joni

Padawan: Seorang lelaki yang dipercayai mabuk dan tidak mahu memakai pelitup muka ketika memasuki sebuah pasar raya di Kota Sentosa, sini, dibelasah beberapa pekerja premis perniagaan itu, kelmarin.

Rakaman video pergelutan yang tercetus ketika pekerja pasar raya itu cuba menghalau lelaki terbabit turut tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, kejadian berlaku di pasar raya itu sekitar 4.30 petang.

Katanya, pasukan Task Force 4 Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan segera ke tempat kejadian namun apabila tiba di situ, lelaki yang dipukul itu sudah beredar.

"Polis berjumpa dengan pengurus pasar raya terbabit dan hasil siasatan mendapati lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai dalam keadaan mabuk masuk ke pasar raya tanpa memakai pelitup muka.

"Sebelum kejadian, lelaki terbabit dinasihatkan pihak pengurusan pasar raya untuk memakai pelitup muka tetapi berdegil lalu mengamuk sebelum pekerja pasar raya itu terpaksa menggunakan kekerasan menghalaunya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jaw Shyong berkata, pihaknya sudah mendapatkan maklumat daripada orang awam dan dimaklumkan lelaki terbabit tidak mengalami kecederaan yang serius.

Katanya, sehingga jam 6 petang semalam, tiada sebarang laporan polis diterima daripada mana-mana pihak berkaitan kejadian itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 2:56 PM