MANGSA dalam keadaan lemah selepas tertembak oleh rakannya ketika berburu. FOTO Ihsan PDRM
MANGSA dalam keadaan lemah selepas tertembak oleh rakannya ketika berburu. FOTO Ihsan PDRM
Melvin Joni


SEORANG lelaki warga emas cedera pada perut dan paha akibat tertembak rakannya sendiri ketika berburu di hutan kawasan Banjaran Bengoh dekat Padawan, pagi hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, kejadian berlaku sekitar 6.30 pagi itu ketika mangsa berusia 67 tahun dari Kampung Taba Sait bersama empat lagi rakan sekampungnya keluar memburu.

Beliau berkata, mereka keluar memburu dari 7.30 malam tadi dan ketika berburu di kawasan itu, mereka berpecah.

Katanya, sekitar 6.30 pagi, seorang daripada rakannya melepaskan tembakan selepas mendengar bunyi yang disangkakan haiwan buruan.

“Bagaimanapun, lelaki yang melepaskan tembakan itu terkejut apabila mendengar suara orang mengerang kesakitan dari arah sasaran tembakannya.

“Dia kemudian segera memeriksa dan melihat mangsa terbaring dan mengalami kesan tembakan pada perut dan paha kanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jaw Shyong berkata, mangsa kemudian dibawa oleh rakannya keluar dari kawasan itu hutan untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching, dengan menaiki ambulans kira-kira 10 pagi.

“Doktor mengesahkan mangsa sedar tetapi tidak stabil dan akan menjalani pembedahan segera.

“Rakannya yang berusia 60 tahun yang melepaskan tembakan itu kini ditahan polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, hasil soal siasat, lelaki terbabit mengaku senjata api yang digunakan adalah buatan sendiri yang diwarisi daripada keluarganya.

“Suspek yang tidak mempunyai lesen memiliki dan menggunakan senjata api itu akan direman esok,” katanya sambil menambah siasatan lanjut berhubung kes masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 8:20 PM