Yusmizal Dolah Aling

Petaling Jaya: Bagi memastikan kakitangan mendapat perlindungan vaksin, Media Prima Berhad (MPB) tampil dengan Program Vaksinasi Media Prima selama tiga hari bermula semalam.

Inisiatif berkenaan akan membolehkan hampir semua kakitangan syarikat itu mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin dalam tempoh dua minggu akan datang.

Pengarah Eksekutif Kumpulan MPB Rafiq Razali berkata, ia sekali gus menjadikan persekitaran kerja di MPB lebih selamat pada masa akan datang.

Menurutnya, seramai 1,500 kakitangan akan mendapat manfaat yang dijalankan bersama Selgate Healthcare dan ia termasuk kakitangan kontrak atau vendor yang bekerja di syarikat itu.

Pengarah Urusan SELGATE, Dr Nurul Muaz Omar (kanan) bersama Pengarah Eksekutif Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali (tengah) ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin Tropicana Garden Mall. Turut serta Pengarah Eksekutif SELGATE, Noor Hisyam Mohd Ghouth. FOTO ROHANIS SHUKRI
Pengarah Urusan SELGATE, Dr Nurul Muaz Omar (kanan) bersama Pengarah Eksekutif Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali (tengah) ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin Tropicana Garden Mall. Turut serta Pengarah Eksekutif SELGATE, Noor Hisyam Mohd Ghouth. FOTO ROHANIS SHUKRI

"Kami berbesar hati dengan program ini. Ia menjadi tanggungjawab sebagai sebuah organisasi media untuk bekerjasama bukan saja dengan kerajaan, malah dengan pihak swasta untuk memastikan vaksin diberikan secepat mungkin.

"Kerjasama dengan Selgate Healthcare bukan saja membolehkan kakitangan mendapat vaksin, tetapi ia menunjukkan kepentingan vaksin.

"Setakat ini, kita memberikan keutamaan kepada kakitangan dan kita sedang melihat kemungkinan akan memberikan suntikan vaksin kepada keluarga kakitangan pula," katanya ketika ditemui selepas meninjau proses pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Tropicana Gardens Mall di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi Selgate Healthcare Dr Mu'az Omar.

Sementara itu, Dr Mu'az berkata, inisiatif berkenaan amat baik untuk memastikan kakitangan media mendapat vaksin sesuai dengan status perkhidmatan perlu.

Menurutnya, seramai 5,000 sukarelawan perubatan dan bukan perubatan membantu proses vaksinasi di lima PPV tetap.

"PPV ini mula dibuka pada 26 Jun lalu iaitu di fasa awal. Pada masa ini, kita belum mencapai 100 peratus keupayaan kita yang mampu mencapai 15,000 dos sehari," katanya.

Sementara itu, Eksekutif Foto The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Hasriyashah Sabudin berkata, dia melihat inisiatif itu dapat membantu kakitangan syarikat sepertinya mendapatkan vaksin dan janji temu berikutnya dengan cepat.

Menurutnya, petugas di PPV itu juga membantu memudahkan proses pengambilan vaksin dan ia selesai dalam tempoh singkat.

Bagi penyampai sukan TV3 pula, Fariz Fikri Zolkarnain, ia adalah satu kemudahan yang disediakan syarikat dan membantu kakitangan untuk memperoleh vaksin.

"Saya berasa bertuah kerana dapat mengambil vaksin hari ini. Saya berasa kakitangan lain juga akan lega kerana sekurang-kurangnya sudah mendapat satu dos vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 4:39 PM