HASNI meninjau persiapan akhir pembukaan PPV Integrasi Mega South Key Midvalley, semalam. FOTO ihsan Pejabat MB
HASNI meninjau persiapan akhir pembukaan PPV Integrasi Mega South Key Midvalley, semalam. FOTO ihsan Pejabat MB
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Johor membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega pertama bertempat di pusat beli belah, di sini, hari ini, bagi mencapai sasaran pemberian dos antara 50,000 hingga 60,000 sehari.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata PPV South Key Midvalley adalah PPV mega pertama beroperasi di pusat beli-belah di negeri ini, diharap mampu mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat negeri ini terutama di kawasan padat penduduk di Johor Bahru.

Katanya, PPV mega itu adalah hasil kerjasama kerajaan dan swasta menerusi Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Healthcare Berhad.

"PPV South Key Midvalley mula beroperasi hari ini dari 8 pagi hingga 9 malam dan ia mampu memberi suntikan sehingga 5,000 dos sehari.

"Pembukaan lebih banyak PPV mega sebegini di Johor amat penting bagi membantu kita mencapai sasaran 80 peratus rakyat menerima suntikan vaksin.

"Kita di Johor sudah bersiap sedia dengan kapasiti pemberian suntikan vaksin antara 50,000 hingga 60,000 dos sehari.

"PPV mega ini penting kerana kita harapkan ia dapat membantu rakyat diberi vaksin seberapa segera supaya sasaran menyuntik 80 peratus daripada 2.5 juta rakyat Johor menjelang Oktober nanti,tercapai sekali gus berjaya membentuk imuniti kelompok," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau meninjau persiapan pembukaan Pusat PPV Integrasi Mega South Key Midvalley, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Datuk Dr Aman Rabu; Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Salleh dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud.

Hasni turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan PPV berkenaan terutama 238 kakitangan perubatan dan sokongan.

"Saya dan seluruh rakyat amat berbangga dan mengiktiraf pengorbanan masa dan tenaga sukarelawan daripada pelbagai pihak untuk membantu negeri dan negara kita bagi menjayakan program vaksinasi ini.

"Seramai 283 kakitangan perubatan dan sokongan daripada tujuh hospital pakar KPJ, iaitu Hospital Pakar KPJ Johor, Hospital Pakar KPJ Puteri, Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn, Hospital Pakar KPJ Kluang, Hospital Pakar KPJ Batu Pahat dan Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani melaksanakan proses pemberian vaksin di PPV ini.

"Turut membantu melancarkan proses pemberian vaksin ialah sukarelawan daripada Malaysia Vaccine Support Volunteers, (MyVac)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 12:55 PM