Orang awam menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO AZIAH AZMEE
Orang awam menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO AZIAH AZMEE
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Seramai 2.9 juta pekerja membabitkan 62,000 syarikat sudah mendaftar untuk vaksinasi menerusi Program Vaksin Selangor (SelVax) bagi SelVax Industri, sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri dan Perdagangan, Datuk Teng Chang Khim berkata, daripada jumlah itu, seramai 13,000 pekerja sektor perkilangan dan perkhidmatan sudah divaksin melalui program SelVax Industri.

"SelVax Industri mensasarkan sejuta pekerja akan menerima suntikan vaksin bermula 25 Julai sehingga akhir Oktober depan.

"Bagaimanapun, syarikat atau industri harus membiayai kos bagi menyertai program SelVax Industri ini untuk memvaksinasi pekerja mereka," katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Teng berkata, Jawatankuasa SelVax Industri pada mesyuarat 2 Julai lalu memutuskan pelaksanaan program SelVax Industri hendaklah

berdasarkan Strategi Vaksinasi Berorientasikan Industri Tersasar.

"Industri keperluan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan akan diutamakan, manakala kilang serta syarikat yang mempunyai pekerja paling ramai akan didahulukan tertakluk kepada proses penerimaan tawaran.

"Bagaimanapun, kategori Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang mempunyai pekerja tidak melebihi 200 orang juga akan dimulakan suntikan vaksin secara serentak," katanya.

Mengulas lanjut katanya, SELCARE Clinic (anak syarikat SELGATE) penyedia perkhidmatan kesihatan yang akan melaksanakan program pemberian vaksin akan mengeluarkan sebut harga kepada syarikat yang mendaftar.

"Syarikat yang sudah membuat bayaran penuh akan memuat naik senarai pekerja ke dalam sistem dan akan diberi janji temu di salam Aplikasi SELangkah.

"Kos bagi keseluruhan sistem perkhidmatan, pengurusan dan pemberian vaksin ini perlu ditanggung oleh syarikat atau majikan dan mereka tidak boleh mengenakan sebarang bayaran/caj kepada pekerja mereka.

"Kos keseluruhan program ini yang dipersetujui oleh kerajaan negeri bagi syarikat atau majikan adalah sebanyak RM350 bagi dua dos," katanya.

Beliau berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang disediakan bagi SelVax adalah Tropicana Gardens Mall di Kota Damansara; Evo Mall di Bandar Baru Bangi; Hotel De Palma di Shah Alam; Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya dan Aurora Place di Bukit Jalil.

"Pada masa sama, SelVax Industri juga akan melaksanakan proses vaksinasi tempat kerja (tertakluk kepada kesesuaian dewan/lokasi) dan juga menerusi klinik panel SELCARE di Selangor dan Lembah Klang.

"Kapasiti kadar vaksinasi di semua lokasi ini boleh mencapai 40,000 dos sehari pada tahap maksimum.

"Kerajaan negeri mengalu-alukan syarikat atau industri berkenaan untuk mendaftar minat melalui laman web https;//vax.selangkah.my atau boleh berhubung pusat panggilan 1-800-22-6600," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 3:34 PM