Orang ramai menunggu giliran mendapatkan vaksinasi di PPV Tropicana Gardens Mall. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Orang ramai menunggu giliran mendapatkan vaksinasi di PPV Tropicana Gardens Mall. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens, Damansara, di sini, yang dikatakan lengang seperti tular di media sosial semalam, menerima kehadiran orang ramai yang mahu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, hari ini.

Ia susulan hari ini adalah pembukaan secara jumpa terus atau walk in tanpa janji temu kepada golongan berusia 18 tahun ke atas.

Menurut jurucakap PPV Tropicana Gardens, sambutan diterima daripada penerima vaksin dalam kalangan usia itu amat menggalakkan, hari ini.

"Berdasarkan pemerhatian, ramai yang datang (hari ini) mungkin disebabkan walk-in mula dibuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas.

"Setakat 4 petang ini, hampir 2,000 dos vaksin diberikan kepada penerima daripada keseluruhan 5,100 dos vaksin yang diperuntukkan," katanya kepada Harian Metro.

Semalam, satu ciapan memberitahu hanya 200 orang datang untuk mendapatkan suntikan vaksin selain merayu orang ramai supaya datang ke PPV berkenaan secara walk-in, tular di media sosial.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan memberi jawapan mengenai perkara itu.

"JKJAV akan jawab esok," katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 6:47 PM