Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: "Sejak dua bulan lalu saya sekeluarga memang tidak mempunyai sebarang pendapatan selepas di buang kerja," kata Zulkifli Idin, 40.

Zulkifli adalah bekas pemandu peribadi sebuah syarikat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 1 Jun lalu.

"Saya hanya mengambil upah sebagai penghantar makanan namun pendapatan itu tidak tetap dan hanya bergantung kepada pelanggan.

"Namun bulan ini paling teruk yang mana kami sekeluarga terputus bekalan makanan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, seramai 10 penduduk yang terkesan menerima bantuan bakul makanan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka.

KETUA Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar menyampaikan bantuan bakul makanan kepada Zulkifli. FOTO Mohd Yusni Ariffin
KETUA Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar menyampaikan bantuan bakul makanan kepada Zulkifli. FOTO Mohd Yusni Ariffin

"Kebanyakan mereka dikesan mengibarkan bendera putih oleh pengurusan PPR dan maklumkan kepada pihak kami.

"Sebelum ini pihak IPD juga ada menyerahkan bantuan bakul makanan di kawasan seliaan IPD Brickfields buat individu yang terkesan," katanya.

Menurutnya, mana-mana individu yang memerlukan bantuan juga boleh menghubungi balai polis di bawah seliaan IPD Brickfields untuk memohon bantuan.

"Setakat ini sebanyak lima kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan mungkin ada antara mereka yang terkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 1:11 PM